Tiga pekerja restoran sesak nafas asrama terbakar

Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja menyelamat.
Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja menyelamat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga pekerja sebuah restoran makanan laut sesak nafas apabila asrama mereka di Jalan Camar 1, Taman Perling di sini terbakar awal pagi tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian itu jam 7.50 pagi, dua lelaki dan seorang wanita itu dapat diselamatkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

Kebakaran itu membabitkan ruang atas sebuah restoran makanan laut dan asrama pekerja yang berada di tingkat dua dan tiga bangunan berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Tinggi, K Karuppanan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.58 pagi sebelum sepasukan 15 anggota dengan dua jentera dan lori tangki air dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, operasi menyelamat juga membabitkan bantuan 10 anggota, satu jentera dan satu kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Skudai.

“Anggota bomba menyelamatkan tiga pekerja yang terperangkap dan mengalami sesak nafas di ruangan tempat tidur mereka dengan menggunakan tangga tambahan.

“Kita juga dimaklumkan terdapat lima lagi lelaki yang berada dalam ruangan tidur masing-masing namun kesemua berjaya keluar sebelum api marak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Karuppanan berkata, kesemua mangsa yang berada dalam bangunan terbabit berusia dalam lingkungan 17 hingga 56 tahun.

Artikel Berkaitan: