Pemindahan dana RM14 bilion biaya tembok sempadan AS-Mexico disekat

Pasukan keselamatan Mexico meronda di sekitar tembok sempadan AS-Mexico di Tijuana Baja. - Foto AFP
Pasukan keselamatan Mexico meronda di sekitar tembok sempadan AS-Mexico di Tijuana Baja. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Hakim Persekutuan Amerika Syarikat (AS) semalam mengeluarkan injunksi kekal yang menghalang Presiden Donald Trump untuk memindahkan dana pembinaan ketenteraan bernilai AS$3.6 bilion (RM14.99 bilion) bagi membina tembok di sempadan AS-Mexico.

Hakim David Briones dari Mahkamah Daerah AS di El Paso, Texas mengeluarkan perintah itu dalam keputusan 21 muka surat.

Keputusan tersebut memberi masalah buat Trump memandangkan pentadbirannya berjanji untuk membina sekurang-kurangnya 725km tembok di sepanjang sempadan menjelang November tahun depan apabila Pilihan Raya Presiden akan datang diadakan.

Trump menegaskan tembok tersebut akan menghalang lintasan sempadan secara haram yang merupakan fokus utama beliau sebagai Presiden.

Jurucakap Jabatan Hakim bagaimanapun memberitahu, pentadbiran akan membuat rayuan.

Februari lalu, Trump mengisytiharkan kecemasan kebangsaan untuk memindahkan wang dari Pentagon bagi membina tembok selepas Kongres enggan memberikan pembiayaan yang diperlukan.

Anggota tertinggi Demokrat di Kongres mengecam projek itu sebagai membazir dan tidak berkesan. - Agensi

Artikel Berkaitan: