Kerajaan lulus dana RM1 bilion setahun untuk kelangsungan Felda

Anwar bersalaman dengan peneroka ketika tiba di majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di MAEPS pada Jumaat.
Anwar bersalaman dengan peneroka ketika tiba di majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di MAEPS pada Jumaat.
A
A
A

SERDANG - Kerajaan meluluskan dana sehingga RM1 bilion setahun bagi tempoh 10 tahun untuk menjamin kelangsungan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu, kerajaan juga meluluskan projek pencerahan jalan di kawasan Felda mulai sekarang.

"Kerajaan juga setuju membelanjakan kos operasi 37,012 lampu di Felda seluruh negara dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.7 juta setahun.

"Peruntukan akan diberikan dan projek lampu jalan berkenaan dilaksanakan bermula bulan ini," katanya pada Majlis Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Peneroka, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan subsidi diesel bagi penjanaan tenaga kepada 43,000 penduduk di Sabah dengan peruntukan sebanyak RM36 juta.

Jelasnya, ia bagi penjanaan tenaga dan bekalan air bersih di Kompleks Umas dan pembekalan air bersih di Kompleks Sahabat, Umas dan Kalabakan.

Tambah beliau lagi, sebanyak 30 Pusat Ekonomi Digital (Pedi) akan dilaksanakan Program Digital Madani dengan kerjasama MDEC.

"Ia bagi menjadikan Felda sebagai peneraju transformasi digital memperkasakan ekonomi gig.

"Kerajaan juga membina 12 buah pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di kesemua wilayah Felda termasuk di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya.

"Pembinaan pusat dialisis ini dijangka dapat memberi manfaat dan meringankan beban hampir 2,000 pesakit di kawasan rancangan Felda yang selama ini terpaksa menempuh perjalanan sehingga dua jam bagi mendapatkan rawatan dialisis," ujarnya.

Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan turut memperkenalkan insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) sebanyak RM300 bagi warga peneroka berumur 65 tahun ke atas.

"Peruntukan keseluruhan diberikan sebanyak RM21.21 juta yang bakal memberi manfaat kepada 70,715 orang peneroka.

"Selain itu, kerajaan akan menyediakan peruntukan sewajarnya bagi segera menyiapkan baki 283 unit perumahan generasi baharu Felda (PBGF).

Beliau turut memaklumkan pihak mereka telah menandatangani perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan.

Katanya, ia dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan dan membolehkan 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion dimansuhkan.