'Anwar perlu beri penjelasan kenyataan Zuraida'

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memberikan penjelasan mengenai kenyataan Naib Presiden parti, Zuraida Kamaruddin berhubung pendiriannya mengenai satu video yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Nazree Mohd Yunus juga membangkitkan satu persoalan adakah sama ada benar Anwar mempercayai dakwaan video itu dan ia sekali gus menuntut penjelasan daripada beliau sendiri.

"Perkongsian pandangan Zuraida berkenaan soal pendirian Presiden berkenaan soal video juga wajar dijelaskan oleh Presiden. Apakah benar Presiden mempercayainya dan ini memerlukan penjelasan daripada Presiden," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa Lembaga Disiplin PKR mengambil tindakan tegas terhadap Zuraida kerana melanggar etika dan disiplin parti, dengan lantang mencaci serta menghina kepimpinan parti seperti membongkar beberapa perkara kononnya merupakan perbualannya dengan Anwar sewaktu berucap ketika Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Pada majlis berkenaan, Zuraida mendakwa Anwar cuba meyakinkannya bahawa pelaku dalam video yang tular ketika itu adalah Mohamed Azmin.

Dalam masa sama, Mohd Nazree menambah, ucapan Zuraida dalam majlis makan malam itu terdapat asasnya kerana perselisihan pandangan dalam parti mungkin tidak akan dibesarkan jika pertembungan beberapa isu selepas pemilihan parti dapat diselesaikan dengan baik dan mengikut persetujuan bersama antara kepimpinan tertinggi parti.

"Pandangan Zuraida yang memberikan maklumat kepada anggota parti berkenaan isu-isu semasa dan pertembungan dalam parti adalah sesuatu sememangnya ditunggu-tunggu ahli parti agar mereka memahami mengapa wujud corak-corak tertentu berbentuk aturan perjalanan dan pentadbiran parti termasuk perjalanan Kongres Nasional PKR 2019 yang lalu.

"Ahli PKR di bawah juga tertanya-tanya apakah sebab parti berantakan termasuk isu antara Presiden dan Timbalan Presiden dan ini sudah pasti ada asas-asasnya. Penjelasan Zuraida adalah wajar kerana dengan maklumat tersebut, mereka boleh menilai mengapa parti boleh terjerumus ke dalam kancah konflik seumpama ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Nazree mencadangkan Shamsul Iskandar untuk berkongsi maklumat kepada semua ahli parti agar seluruh pihak dapat mengetahui masalah untuk dirungkai dan diselesaikan secara bersama.

"Begitu juga soal kenyataan Ketua Penerangan yang menolak kritikan Zuraida terhadap pimpinan parti yang lain. Ini juga perlu di muhasabah oleh parti apakah sebab-sebab perkara tersebut berlaku dan beliau perlu mengambil tanggungjawab sama kerana kekecohan juga berlaku bermula daripada sesi Kongres Nasional AMK yang mana Ketua Penerangan turut berada dalam majlis tersebut.

"Kongres sepatutnya menjadi medan menterjemah perbincangan, rundingan dan muafakat yang telah pun dilakukan oleh Presiden dan Timbalan Presiden. Namun apa berlaku dalam kongres tersebut adalah sesuatu keterlaluan dan di luar hasrat membina muafakat dalam parti dan perjuangan. Ia beralih ke arah menjadi kongres untuk mencerca.

"Saya menyeru supaya seluruh kepimpinan parti menilai semula dapatan kongres ini yang jelas memaparkan bentuk perbahasan provokatif di mana rakyat boleh menilai dan membuat perbandingan antara soal konstruktif dan provokatif. Perbahasan seumpama ini tidak mencerminkan kita sebagai sebuah parti pemerintah," katanya.