Tanah runtuh: Jalan alternatif sementara dibina

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony (tengah) melakukan lawatan tanah runtuh Tamparuli- Kiulu hari ini. Kejadian tanah runtuh yang berlaku malam tadi ini menyebabkan hubungan jalan raya Kiulu- Tamparuli terputus. - Foto Bernama
Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony (tengah) melakukan lawatan tanah runtuh Tamparuli- Kiulu hari ini. Kejadian tanah runtuh yang berlaku malam tadi ini menyebabkan hubungan jalan raya Kiulu- Tamparuli terputus. - Foto Bernama
A
A
A

TAMPARULI - Jalan alternatif sementara akan dibina di Kilometer 3 Jalan Tamparuli - Kiulu yang terputus akibat tanah runtuh pagi tadi, kata Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony.

Beliau berkata, kerja-kerja membina jalan alternatif sementara di tepi jalan berkenaan akan dilakukan segera bermula hari ini dan dijangka boleh dilalui kenderaan dalam tempoh kurang 24 jam.

“Pergerakan tanah akibat hujan menyebabkan jalan raya itu runtuh awal pagi tadi dan ketika ini, penduduk kampung di Kiulu menggunakan satu lagi jalan yang ada menghubungkan ke kampung sekitar Kiulu. Kita akan mempercepatkan kerja membina jalan alternatif itu,” katanya ketika ditemui pemberita di kawasan jalan runtuh itu di sini hari ini.

Beliau berkata, kos pembaikan jalan raya runtuh itu dianggarkan mencecah RM3 juta dan akan dimulakan sebaik sahaja peruntukan diperoleh.

Mengenai satu lagi kejadian tanah runtuh menyebabkan jalan Kundasang-Ranau terputus di Kilometer 96.7, Peter berkata, kerja baik pulih jalan itu sedang dilakukan dengan membersih serta mengalihkan tanah runtuh dan jalan alternatif sementara akan segera dibuat.

Katanya, ia diputuskan menerusi mesyuarat oleh semua pihak berwajib termasuk Jabatan Kerja Raya pagi tadi disebabkan kepentingan jalan itu yang menjadi laluan darat utama ke daerah di timur negeri ini.

Beliau berkata, kerja membersih dan mengalihkan tanah runtuh diikuti membina jalan alternatif sementara akan mengambil masa dua hingga tiga hari bergantung kepada keadaan cuaca dan kos pembaikan keseluruhan jalan berkenaan dianggarkan mencecah RM25 juta.

Peter berkata, sejak semalam hingga hari ini, tiga laporan tanah runtuh membabitkan jalan raya diterima di negeri ini termasuk satu lagi kejadian di daerah Membakut yang hanya membabitkan runtuhan lereng bukit.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau menasihatkan pengguna jalan raya di negeri ini supaya berhati-hati ketika menggunakan jalan raya yang ada cerun bukit khususnya di Jalan Tamparuli ke Kundasang. - Bernama