Maidam sedia kaunter zakat 'drive thru'

Orang ramai boleh menunaikan zakat 'drive thru' tanpa perlu meletak kenderaan dan ke kaunter Maidam seperti sebelum ini.
Orang ramai boleh menunaikan zakat 'drive thru' tanpa perlu meletak kenderaan dan ke kaunter Maidam seperti sebelum ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hari ini memperkenalkan inovasi baharu kemudahan bayaran zakat kepada orang ramai dengan mewujudkan kaunter bayaran zakat pandu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, M Rozi Bidin berkata, kaunter yang mula beroperasi awal Disember itu akan memberi kemudahan kepada pelanggan menunaikan zakat secara terus tanpa perlu meletak kenderaan dan ke kaunter Maidam seperti sebelum ini.

"Kaunter zakat ‘drive thru’ yang terletak di tempat meletak kenderaan awam Kompleks Sri Iman ini beroperasi lima hari seminggu bermula jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang dan bagi hari Khamis ia akan ditutup pada jam 3 petang.

“Terdapat perkhidmatan bayaran zakat secara tunai atau tanpa tunai bagi kemudahan kepada mana-mana pembayar zakat yang ingin membayar zakat tanpa taksiran," katanya pada Majlis Perasmian Zakat Pandu Lalu Maidam di Kompleks Sri Iman hari ini.

Menurutnya, pelanggan yang perlukan khidmat taksiran zakat dan serahan amil perlu ke kaunter pejabat zakat Maidam terlebih dahulu dan seterusnya membuat bayaran di sana kerana kaunter dalam pejabat masih beroperasi seperti biasa.

“Zakat drive thru’ ini adalah kaunter alternatif kepada perkhidmatan kaunter dalam pejabat (kaunter sedia ada) bagi mengurangkan kesesakan pembayaran di waktu puncak.

"Kaunter bayaran zakat pandu lalu diadakan sebagai usaha merealisasikan permintaan pelanggan yang mahukan perkhidmatan berkenaan diwujudkan bagi mengurangkan kesukaran mendapatkan parkir dan kesesakan di kaunter," katanya.

Sementara itu beliau memaklumkan Maidam akan melanjutkan waktu perkhidmatan kaunter bayaran zakat di seluruh negeri kepada tujuh hari seminggu termasuk cuti umum bermula 13 hingga 31 Disember nanti.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia sebagai usaha memberi peluang kepada pembayar menunaikan zakat di mana-mana kaunter Maidam memandangkan kebiasaan berlaku peningkatan sehingga 80 peratus pembayar zakat pada setiap akhir tahun.

“Ia meliputi semua kaunter bayaran zakat Maidam termasuk kaunter pandu lalu kecuali kaunter zakat Maidam di UTC.

“Kita mengalu-alukan orang ramai menunaikan tanggungjawab bayaran zakat ini dengan segera bagi mengelak kesesakan di kaunter bayaran pada saat akhir penghujung Disember nanti,” katanya.