Jangan kaitkan program CSR dengan zakat

M Rozi (dua dari kiri) menyempurnakanMajlis Perasmian Zakat Pandu Lalu Maidam di Kompleks Sri Iman hari ini.
M Rozi (dua dari kiri) menyempurnakanMajlis Perasmian Zakat Pandu Lalu Maidam di Kompleks Sri Iman hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Syarikat dan badan korporat negeri ini dinasihatkan supaya tidak mengaitkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan wang zakat bagi mengelak kekeliruan dan persepsi negatif.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), M Rozi Bidin berkata, beliau tidak mahu timbulnya isu dan polemik kurang menyenangkan kerana ada sebahagian penerima dalam program bukan golongan asnaf.

“Kini semakin banyak syarikat-syarikat korporat mengadakan program-program CSR kepada golongan yang tidak bernasib baik seperti ibu tunggal, golongan gelandangan, anak-anak yatim dan sebagainya.

“Namun begitu, program dibuat atas dasar CSR ada sebahagiannya dikaitkan wang zakat sedangkan wang itu tidak pernah sampai kepada Maidam sebagai badan tunggal mengurus dan menyelia segala bantuan zakat di negeri ini," katanya pada Majlis Perasmian Zakat Pandu Lalu Maidam di Kompleks Sri Iman hari ini.

Menurutnya, perkara itu boleh menimbulkan isu yang kurang baik kepada Maidam dan dibimbangi bantuan berkenaan tidak sampai kepada sasaran asnaf

"Aktiviti tersebut dilihat berlaku sejak lima tahun lalu dan kini menjadi trend terutama kalangan syarikat insurans, perbankan dan badan korporat.

"Badan korporat yang ingin mengadakan program CSR melibatkan pengagihan wang zakat secara terus kepada penerima dinasihatkan menunaikan zakat terlebih dahulu kepada Maidam," katanya.

Beliau berkata, selepas bayaran zakat dibuat mereka boleh menuntut kembali 25 peratus dari bayaran tersebut untuk diagihkan kepada penerima setelah mendapat nasihat serta pengesahan daripada pihak Maidam.

Artikel Berkaitan:

“Semoga dengan pencerahan ini dapat memurnikan pengurusan agihan zakat di negeri ini demi untuk membela nasib asnaf,” katanya.