Polis sambung rakam keterangan Yusoff Rawther

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sekali lagi merakam keterangan bekas pekerja seorang ahli politik, Muhammad Yusoff Rawther di Ibu Pejabat Bukit Aman, hari ini.

Peguamnya, Datuk Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, anak guamnya dipanggil semula ke Bukit Aman untuk siasatan lanjutan daripada keterangan yang diberi semalam.

"Dia hadir seorang diri kerana saya ada urusan kerja lain," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mohamed Haniff memaklumkan anak guamnya masih berada di Bukit Aman dan maklumat lanjut akan dimaklumkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan kes Yussof Rawther

Semalam, Muhammad Yusoff, 26, memberi keterangan kira-kira tujuh jam di ibu pejabat berkenaan berhubung dakwaannya berkaitan kes cabul seorang ahli politik.

Mohamed Haniff ketika ditemui memaklumkan bahawa keterangan anak guamnya direkod oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Yusoff membuat satu akuan bersumpah (SD) pada 19 November sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur.