‘Lulus ujian agama baru boleh masuk polis’

Abd Rahim (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Negeri, Datuk Aidi Ismail (kanan) melihat pemakaian Pingat Jasa Pahlawan yang disempurnakan Ahmad Samsuri. -FOTO: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Abd Rahim (dua dari kanan) bersama Ketua Polis Negeri, Datuk Aidi Ismail (kanan) melihat pemakaian Pingat Jasa Pahlawan yang disempurnakan Ahmad Samsuri. -FOTO: Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan setiap permohonan anggota baharu perlu lulus ujian penilaian agama dan moral sebelum diterima masuk ke dalam agensi itu bermula tahun depan.

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, ia bagi memastikan setiap anggota yang diambil mempunyai tahap integriti serta nilai moral dan agama yang tinggi.

“Aspek agama ditekankan bagi calon beragama Islam manakala pendidikan moral bagi calon bukan beragama Islam menerusi ujian secara atas talian dan temu duga.

“Kita perlu faham bahawa pendidikan agama penting jika tiada ‘pendinding’ itu akan menyebabkan mereka-mereka ini terlibat dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Peringkat Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Polis negeri, Datuk Aidi Ismail.

Abd Rahim berkata, pihaknya menjangka seramai 6,000 anggota termasuk 500 pegawai terlibat bagi pengambilan baharu pada tahun depan.

Katanya, selain aspek agama dan moral, PDRM juga akan menjalankan ujian psikometrik yang bersesuaian bagi mengenal pasti sikap dan perilaku mereka sebelum diterima menjadi anggota polis.

“Tugas anggota polis ialah menjaga keselamatan orang ramai, jika mereka terlibat dalam perkara yang tidak sepatutnya macam mana mereka nak laksanakan tugas dan tanggungjawab itu.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga akan bekolaborasi bersama universiti untuk mencari kaedah dalam mengesan lebih awal calon-calon bagi anggota polis yang terlibat dalam masalah dadah kerana terdapat juga statistik mengatakan ada antara polis terlibat dengan dadah lebih awal sebelum menjadi anggota.

"Ini antara kaedah yang akan kita laksanakan bagi memastikan anggota baharu yang diambil benar-benar menepati kriteria yang kita mahukan,” katanya.

Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada seramai 300 anggota polis terdiri daripada pesara dan pegawai polis itu disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.