2 pekerja nasi kandar reka cerita disamun kena reman

Kedua-dua pekerja restoran nasi kandar terbabit dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman semalam.
Kedua-dua pekerja restoran nasi kandar terbabit dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua pekerja restoran nasi kandar direman tujuh hari selepas mereka membuat laporan palsu kononnya disamun dua lelaki di Bayan Baru pagi kelmarin.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Muhammad Azam Md Eusoff terhadap dua lelaki yang masing-masing warga tempatan dan India.

Sebelum ini media melaporkan, dua lelaki berkenaan ditahan polis selepas didakwa membuat laporan palsu kononnya wang tunai hasil kutipan perniagaan restoran nasi kandar berjumlah RM122,555 disamun dua lelaki yang memakai vest polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, menurut laporan yang dibuat, dua pekerja terbabit yang menaiki motosikal dalam perjalanan untuk membawa masuk wang ke dalam bank namun ditahan oleh anggota polis sebelum diminta menyerahkan kad pengenalan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan mereka cerita kononnya seorang anggota polis itu mengacukan pisau dan pistol ke arah mereka hingga menyebabkan terpaksa menyerahkan beg yang mengandungi wang tunai berkenaan.

"Bagaimanapun, hasil siasatan kita dapati dua pekerja terbabit mengaku kejadian itu tidak berlaku dan cerita mereka disamun hanyalah rekaan semata-mata.

“Wang itu ditemui disembunyikan di dalam sebuah kereta Perodua Kancil," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Zainol berkata, seorang daripada suspek sebelum ini pernah membuat laporan palsu kononnya dia disamun membabitkan kerugian sebanyak RM74,154 pada 2009.

Artikel Berkaitan:

Katanya, difahamkan dia melakukan demikian kerana tidak berpuas hati dengan majikannya yang tidak menaikkan gaji walaupun telah berkhidmat di restoran itu selama 19 tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya.