MOA raikan kejayaan Mat Redho

Salahuddin (kanan) menyampaikan plak penghargaan kepada Mat Redho sambil diiringi Saiful Yazan (kiri) pada satu majlis di Kuala Lumpur semalam.
Salahuddin (kanan) menyampaikan plak penghargaan kepada Mat Redho sambil diiringi Saiful Yazan (kiri) pada satu majlis di Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mohd Redha Rozlan atau lebih popular dengan panggilan Mat Redho mendapat penghargaan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kerana meraih tiga pingat perak acara olahraga pada kejohanan di Sukan SEA 2019 di Filipina.

Mat Redho, 30, yang merupakan anggota penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menerima plak penghargaan yang disampaikan Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub di sini semalam.

Salahuddin ketika menyampaikan ucapannya pada majlis itu berharap penguat kuasa Maqis itu terus berusaha dan tidak berputus asa untuk memperbaiki pencapaian seterusnya.

“Saya berharap saudara Mat Redho akan dapat terus bersaing dan cemerlang untuk mendapatkan pingat emas selepas ini,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Datuk Salim Parlan dan Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi.

Sementara itu, Mat Redho berkata, dia tetap berpuas hati dengan pencapaiannya walaupun matlamat untuk mendapat sekurang-kurangnya satu pingat emas tidak kesampaian.

“Alhamdulillah, ALLAH sudah tetapkan rezeki saya hanya mendapat tiga pingat perak.

Artikel Berkaitan:

Mat Redho menunjukkan tiga pingat perak yang dimenanginya.
Mat Redho menunjukkan tiga pingat perak yang dimenanginya.

“Saya pun tak sangka diraikan sampai begini sekali, ingat hendak tunjuk pingat sahaja,” katanya.

Menurutnya, kejayaan meraih pingat perak itu adalah hasil pengorbanan semua pihak dan pingat yang diperoleh menambahkan lagi semangat untuknya beraksi pada masa akan datang bagi meraih pencapaian lebih baik.

Malah, katanya, semua cabaran yang ditempuhi menjelang Sukan SEA 2019 itu tidak mematahkan semangatnya untuk berjuang mengharumkan nama negara meskipun menyedari ia satu tugas yang amat berat.

“Tekanan paling tinggi adalah untuk tidak membuat sebarang kesilapan walaupun sedikit sebab kepantasan penting dalam acara ini.

“Cabaran datang daripada peserta tuan rumah kerana mereka sudah tahu layout halangan dan turut berpeluang berlatih,” katanya.

Pada Sukan SEA 2019, Mat Redho menyertai tiga acara olahraga iaitu 100 meter (m), 400m dan 4x100m berganti-ganti.

Tahun lalu, beliau mengharumkan nama negara apabila memenangi tempat pertama dalam Ninja Challenge League 2018 yang diadakan di Perth, Australia.