Mangsa banjir di Kota Tinggi terus meningkat

Keadaan suasana di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi yang mulai dibuka sejak jam 12.30 tengahari tadi.
Keadaan suasana di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi yang mulai dibuka sejak jam 12.30 tengahari tadi.
A
A
A

KOTA TINGGI - Jumlah mangsa banjir di daerah ini terus menunjukkan peningkatan mendadak apabila seramai 729 berbanding 38 mangsa kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi berkata, dua PPS baharu turut dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan empat PPS telah dibuka sejak semalam.

“Kesemua mereka yang melibatkan 165 keluarga itu dipindahkan di empat PPS selepas kawasan rumah masing-masing dinaik air antara 0.5 meter dan satu meter.

“Jumlah mangsa terlibat adalah merangkumi 46 orang daripada 13 keluarga dari Kampung Baharu, Kampung Changi dan Kampung Jumis Bukit Raja di Teluk Ramunia ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ramunia.

“Selain itu 573 mangsa dari Kampung Jawa, Taman Aman dan Taman Mawai pula ditempatkan di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menerusi kenyataan itu juga, seramai 60 mangsa iaitu penduduk Taman Aman dan Taman Mawai pula ditempatkan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina New Kota yang mula dibuka pada jam 3.30 petang hari ini.

“Selain itu 50 mangsa dari Kampung Sepak Hilir pula ditempatkan di PPS Dewan Seri Teratai yang kemudiannya dibuka pada jam 5 petang tadi.

“Pasukan keselamatan masih berada dalam keadaan siap siaga memandangkan keadaan di sekitar kawasan terjejas masih mengalami hujan renyai setakat ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: