Amaran banjir di Kluang, Kota Tinggi dan Pontian

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di tiga daerah di negeri ini dalam tempoh 12 jam akan datang. - Gambar hiasan
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di tiga daerah di negeri ini dalam tempoh 12 jam akan datang. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di tiga daerah di negeri ini dalam tempoh 12 jam akan datang.

Menurut notis itu yang dikeluarkan 5 petang Rabu, banjir kilat diramal berlaku jika hujan yang signifikan berterusan di beberapa lokasi di daerah Kluang, Kota Tinggi dan Pontian.

"Kawasan di daerah Kluang yang berisiko dilanda banjir kilat adalah Mukim Ulu Benut, Mukim Kahang serta kawasan sekitarnya, dengan Kota Tinggi pula melibatkan Mukim Johor Lama, Mukim Ulu Sungai Johor dan Mukim Sedili Besar.

"... manakala Pontian melibatkan Mukim Ayer Masin, Mukim Rimba Terjun, Mukim Pontian, Mukim Api-Api, Mukim Ayer Baloi, Mukim Sungai Pinggan, Mukim Benut serta kawasan sekitarnya,” menurut kenyataan itu.

Penduduk juga diminta supaya mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir, menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh melayari laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my atau Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut mengenai banjir. - Bernama