Khatan percuma untuk anak yatim

Para peserta basah kuyup selepas dimandikan anggota bomba bagi menghilangkan debaran mereka.
Para peserta basah kuyup selepas dimandikan anggota bomba bagi menghilangkan debaran mereka.
A
A
A

DUNGUN - Menjadi kelaziman bagi ibu bapa untuk mengkhatankan anak-anak setiap kali musim cuti sekolah, namun disebabkan kos tinggi membuatkan ada antaranya yang pening kepala.

Bertitik-tolak daripada itu, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura menganjurkan Majlis Berkhatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura 2019 baru-baru ini.

Lebih bermakna, 13 anak yatim yang turut serta berkhatan tidak dikenakan sebarang bayaran manakala 87 kanak-kanak lain dikenakan bayaran minimum, iaitu hanya RM50 seorang.

ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu berkata, inisiatif itu dibuat bagi meringankan beban ibu bapa.

“Kita menyedari ibu bapa terpaksa menanggung kos yang tinggi, apatah lagi sesi persekolahan baharu akan bermula tidak lama lagi. Jadi, program ini salah satu cara untuk kita bantu mereka untuk menunaikan tanggungjawab terhadap anak masing-masing.

“Ia pula dibuat secara beramai-ramai, jadi anak-anak yang terlibat tidaklah rasa keseorangan dan kekok,” katanya kepada Sinar Harian.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Pegawai Daerah Dungun (Pembangunan Masyarakat), Mohammad Ainol Naim.

Lebih menarik, kanak-kanak yang terlibat bukan sahaja diarak dengan bunga manggar, tetapi turut ‘dimandikan’ oleh pasukan bomba bagi meredakan debaran para peserta.

Artikel Berkaitan:

Para peserta yang terlibat berusia antara 5 hingga 13 tahun dan dikhatankan oleh mudim persendirian.