PGA rampas 3,600kg beras seludup di musim banjir

Lori yang digunakan untuk membawa 2,100kg beras di Kampung Kubang Pak Itam Meranti.
Lori yang digunakan untuk membawa 2,100kg beras di Kampung Kubang Pak Itam Meranti.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Banjir tidak menghalang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu mematahkan aktiviti penyeludupan di sepanjang kawasan Sungai Golok bermula dari Rantau Panjang sehingga Pengkalan Kubor, Tumpat.

Terbaharu, pasukan itu merampas 3,600 kilogram (kg) beras yang cuba diseludup masuk ke negeri ini secara haram dalam dua serbuan berasingan, di sini semalam.

Dalam serbuan pertama pada jam 9.30 pagi di Lubok Jong, dekat sini, pasukan tersebut merampas 1,500kg beras selepas berjaya menahan sebuah pacuan empat roda dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Kuala Terengganu, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan pemandu kenderaan turut ditahan dalam serbuan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 300 kampit beras seberat 5kg di tempat duduk hadapan dan belakang kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemandu kenderaan serta barangan rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Rantau Panjang untuk tindakan lanjut.

Katanya, sekitar jam 4 petang hari yang sama, PGA Batalion 9 turut merampas 2,100kg beras di Kampung Kubang Pak Itam, Meranti.

Nor Azizan berkata, ketika rondaan dijalankan, anggotanya terserempak dengan sekumpulan lelaki sedang asyik memunggah beras dari bot ke dalam sebuah lori.

Artikel Berkaitan:

“Sejurus menyedari kehadiran anggota PGA, kumpulan lelaki itu terus bertindak melarikan diri menggunakan bot bagi mengelakkan diri daripada dicekup," katanya sambil memberitahu siasatan awal mendapati beras tersebut diseludup masuk ke negeri ini menggunakan pangkalan haram.

Beliau berkata, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.