Atlet e-sports bakal diberikan sijil kemahiran TVET

Mahfuz (kiri) ketika meninjau anak muda yang aktif dalam e-sports di Kedah e-Sports Challenge Parlimen Pokok Sena yang diadakan baru-baru ini.
Mahfuz (kiri) ketika meninjau anak muda yang aktif dalam e-sports di Kedah e-Sports Challenge Parlimen Pokok Sena yang diadakan baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sukan elektronik atau e-sports bakal diiktiraf apabila atlet sukan elektronik itu akan diberikan sijil kemahiran bawah National Occupational Skill Standard (NOSS) bagi melahirkan ahli sukan yang cekap dan kompeten untuk memenuhi keperluan pasaran serta berupaya bersaing di peringkat global.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, satu garis panduan berkaitan perkara itu akan diwujudkan tahun hadapan, sebelum sijil kemahiran itu dilaksanakan.

Menurutnya, e-sports akan diiktiraf sebagai antara program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), susulan ia berkaitan dengan ilmu kemahiran dan kepakaran.

“Kita sedang memperhalusi perkara ini. Tahun depan kita akan mula merangka NOSS atau National Competency Standards (NCS). NOSS bagi kemahiran untuk pekerjaan, NCS untuk kemahiran bukan pekerjaan supaya sukan ini turut diberikan sijil kemahiran,” katanya.

Mahfuz berkata, e-sports berpotensi kerana semakin diminati generasi muda, lebih-lebih lagi sukan berkenaan mampu memberi pulangan besar selain pendapatan lumayan.

“Garis panduan itu akan dirangka tahun depan, kita akan dapatkan input daripada mereka yang terlibat dengan sukan e-sports. Ini antara pengiktirafan kita kepada atlet sukan elektronik ini yang telah mencapai tahap tertentu, di mana kemahiran itu diiktiraf dalam bentuk sijil,” katanya.

Menurutnya, individu terbabit kelak perlu mengikuti kursus berkaitan e-sports berbanding sekarang hanya mempelajari permainan itu secara sendirian.

“E-sports bukan sektor pekerjaan, ia sektor berkaitan kompetensi kemahiran dan kini diiktiraf sebagai atlet sukan. Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan agar sasaran ini dicapai dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 21 November lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melancarkan Pelan Strategik Pembangunan E-Sports 2020-2025 dalam usaha mengembangkan lagi industri berkenaan dengan memperuntukkan RM20 juta untuk tahun depan, antaranya dengan memperkenalkan liga kebangsaan.