X

Kindly register in order to view this article
!

Saifuddin Nasution bidas pemimpin PKR

Saifuddin ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas kenyataan dibuat pemimpin parti itu yang mendakwa ekonomi negara hanya akan lebih makmur jika Datuk Seri Anwar Ibrahim terus diserang.

Menurutnya, kenyataan bersifat serangan ke atas Presiden parti itu dibuat oleh pemimpin tertinggi PKR pada majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi.

Katanya, mesej itu cuba disampaikan pada majlis yang sepatutnya memberi fokus kepada dasar kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dan rakyat.

"Saya pun baru tahu semalam tentang perjumpaan WKB 2030. Apa yang saya baca di media adalah ucapan pemimpin parti (malan tadi) memberi penjelasan bahawa kemakmuran bersama adalah ekonomi Malaysia akan lebih makmur kalau Anwar terus diserang.

"Itu yang saya faham daripada semalam (berdasarkan ucapan pemimpin). Jadi ekonomi Malaysia akan pulih dengan luar biasa lonjakan saujananya hanya dengan mengganyang Anwar Ibrahim," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi pandangan apabila majlis yang sepatutnya fokus kepada perkara mengenai dasar kerajaan tetapi lebih digunakan sebagai platform politik untuk kelompok tertentu.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan pemimpin yang turut disertai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menganjurkan majlis berlainan bagi menjawab ketidakpuasan hati mengenai Kongres PKR yang berlangsung di Melaka, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

"Kongres parti (PKR) hanya satu, pada saya lebih baik ucapan dibuat pada majlis penggulungan. Itu tindakan yang lebih tepat.

"Tidak manis jika tidak hadir penggulungan tapi buat (majlis bagi menjawab isu kongres) di tempat lain," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Zuraida, Azmin bersedia dipecat

Katanya, isu yang dibangkitkan Mohamed Azmin berkenaan perkara yang boleh dan tidak boleb disentuh pada kongres itu juga tidak sewajarnya berlaku.

"Tidak pernah jadi tradisi (PKR) apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh. Kita tidak buat begitu seperti UMNO. Sebab itu parti kita reformasi," katanya.

Malam tadi, Mohamed Azmin bersama beberapa pemimpin daripada 'kemnya' hadir ke majlis makan malam yang disertai ribuan ahli dan penyokongnya.

Turut hadir tiga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, R Sivarasa; Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham.

Terdahulu, pertikaian antara Mohamed Azmin dan Anwar Ibrahim semakin panas apabila Ahli Parlimen Gombak itu bersama penyokongnya bertindak keluar dewan ketika kongres berlangsung kelmarin.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, tindakan itu diambil kerana mendakwa Anwar gagal mematuhi janji memastikan pembahas patuh pada kerangka ucapan yang dipersetujui dalam satu mesyuarat khas yang diadakan beberapa hari sebelum itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus