SOSMA masih relevan pelihara keselamatan negara

Mohd Azis Jamman
Mohd Azis Jamman
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan berpandangan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) masih relevan bagi memelihara keselamatan negara bagi membanteras ancaman pengganas dan sindiket jenayah terancang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman bagaimanapun berkata kerajaan mengambil maklum kegusaran masyarakat mengenai SOSMA atau undang-undang lain yang boleh disalahgunakan bagi tujuan politik tertentu.

Justeru, katanya akta tersebut dan undang-undang keselamatan lain sedang dikaji untuk ditambah baik menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa.

"Selain jabatan kerajaan seperti Jabatan Peguam Negara dan PDRM, jawatankuasa berkenaan turut dianggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan badan hak asasi manusia iaitu Badan Peguam Malaysia, pengamal undang-undang dan ahli akademik bagi mendapatkan pandangan menyeluruh dan seimbang.

"Jawatankuasa tersebut telah memperhalusi setiap peruntukan undang-undang berkenaan dan memberi pendapat dalam aspek aspek perundangan serta hak asasi manusia implikasi keselamatan jika akta tersebut dipinda atau dimansuhkan," katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Mohd Azis menambah kementeriannya kini dalam proses memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan SOSMA dan memerlukan penelitian kerana dikhuatiri terdapat kelompongan perundangan menerusi akta sedia terutamanya di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, perkara itu melibatkan kebenaran SOSMA digubal dan memberi kuasa kepada Parlimen membuat undang-undang bagi menentang perbuatan subversif walaupun ia berlawanan dengan mana-mana peruntukan di bawah Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 9 (larangan buang negeri dan kebebasan bergerak), Perkara 10 (kebebasan berhimpun, bercakap dan menubuhkan persatuan) dan Perkara 13 (hak terhadap harta).

"RUU itu dijangka akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang dan tertakluk kepada persetujuan Jemaah Menteri," katanya.

Artikel Berkaitan: