Tak timbul isu tubuh parti baharu: Azmin

Azmin bergambar selepas hadir dalam Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2020 di Hotel Renaissance di sini hari ini. -Foto Facebook Azmin Ali
Azmin bergambar selepas hadir dalam Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2020 di Hotel Renaissance di sini hari ini. -Foto Facebook Azmin Ali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak bercadang menubuhkan parti baharu susulan krisis kepimpinan PKR yang sedang dihadapi kini.

Mohamed Azmin berkata, PKR ditubuhkan secara bersama dan segala masalah dalaman yang sedang dihadapi perlu diselesaikan secara bersama.

"Parti ini kita bina bersama, rakyat yang telah membina parti ini selama 20 tahun dan kita akan kekal dalam parti ini cuma kalau ada masalah, kita harus bincang untuk cari jalan penyelesaian.

"Saya mengajak semua anggota parti supaya segera ketepikan masalah yang berlalu dan sama-sama maju ke hadapan sebagai parti yang kuat di bawah presiden yang ada sekarang," katanya selepas berucap di Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Hotel Renaissance di sini hari ini.

Turut hadir tiga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju; ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, R Sivarasa; Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Hilman Idham.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata, tidak timbul isu pemecatan terhadapnya susulan tindakannya yang terbuka menegur presiden dan mengadakan pertemuan bersama anggota dalam majlis makan malam tersebut.

"Tak timbul soal pemecatan tetapi ini satu usaha yang baik, yang saya telah buktikan bersama pimpinan untuk memperkukuhkan parti.

"Sebelum kongres kita sudah mengadakan pertemuan namun seperti yang dijelaskan dalam kenyataan media, beberapa perkara penting (pertemuan) itu dilanggari menyebabkan perkara ini amat dikesali, jadi saya berharap supaya semua perbincangan mestilah bertujuan untuk memperkukuhkan parti, " katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Anwar tak obses jadi PM kelapan', kata Saifuddin Nasution

Ditanya isi ucapannya pada malam ini yang bersifat menyerang jelasnya, beliau tidak membuat serangan peribadi kepada mana-mana pihak.

"Saya tak menyerang mana-mana peribadi, malahan saya jelaskan kepada anggota yang saya sebagai timbalan mengeluarkan kenyataan dengan tuntas dan segera mempertahankan presiden ketika beliau berdepan dengan pelbagai bentuk ujian.

"Ini bukan dibuat-buat tapi telah saya lakukan selama 20 tahun, saya tetap mempertahankan presiden dan saya setia. Cuma saya tak mahu beliau dipengaruhi oleh orang-orang yang tak memahami soal reformasi," katanya.