Tingkatkan usaha agar rakyat Malaysia terus sokong DAP, PH

Tan Kok Wai berucap pada Majlis Konvesyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan hari ini. -Foto Bernama
Tan Kok Wai berucap pada Majlis Konvesyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 di Ibu Pejabat DAP Kebangsaan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - DAP dan Pakatan Harapan (PH) perlu bekerja keras untuk memastikan rakyat Malaysia terus menyokong parti itu serta gabungan berkenaan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang ke arah menjayakan usaha mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat yang bersatu padu, kata Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tan Kok Wai.

“Kita perlu berusaha lebih gigih untuk menjadikannya satu kenyataan bahawa dalam PRU akan datang, rakyat Malaysia akan terus memberi sokongan padu mereka kepada DAP serta PH untuk meneruskan usaha murni kita dalam menjadikan negara kita sebuah negara hebat yang bersatu padu,” katanya.

Kok Wai berkata, mereka perlu menerima kritikan dan bersikap terbuka terhadap kesemua teguran rakyat.

“Apa yang tidak baik dianggap oleh rakyat kita harus betulkan, (manakala) apa yang dipuji rakyat kita harus meningkatkan lagi prestasi kita.

“Tiada benda (perkara) lain yang boleh ganti kerja keras untuk negara. Ini tugas DAP dan semua (parti) komponen PH untuk pastikan Malaysia mara ke hadapan,” katanya dalam ucapan alu-aluannya pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Konvensyen berkenaan dirasmikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kok Wai juga meminta DAP memberi tumpuan khusus kepada pengundi muda supaya parti itu dikenali dan diterima oleh golongan tersebut.

“Saya berpendapat kita perlu memulakan usaha khusus untuk memberi tumpuan kepada pengundi muda. Kita mesti memenuhi aspirasi pengundi muda sebab mereka akan menjadi kumpulan pengundi utama dalam PRU akan datang,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: