Remaja lindungi rakan-rakan dalam masjid selepas insiden tembakan

Duaa membuka kod kunci yang ada pada pintu masjid sebelum meminta semua rakannya berlindung dalam masjid Ahmadiyya. (Gambar kecil: Duaa Ahmad)
Duaa membuka kod kunci yang ada pada pintu masjid sebelum meminta semua rakannya berlindung dalam masjid Ahmadiyya. (Gambar kecil: Duaa Ahmad)
A
A
A

OSHKOSH - Penularan rakaman video memaparkan suasana cemas apabila sekumpulan pelajar berlari ke arah sebuah masjid untuk mendapatkan pelindungan daripada insiden tembakan di Oshkosh West High School sebelum diselamatkan oleh seorang remaja mencuri perhatian netizen.

Klip video dimuat naik di Twitter empat hari lalu di Wisconsin, Amerika Syarikat memaparkan Duaa Ahmad, 17, membuka kod kunci yang ada pada pintu masjid sebelum meminta semua rakannya berlindung dalam masjid Ahmadiyya.

Menurutnya, mereka semua berlari untuk menyelamatkan diri tanpa mengetahui apa yang berlaku.

"Kami berada dalam kelas ketika itu, terdengar bunyi tembakan dan semua lari untuk selamatkan diri. Kami berlari ke jalan dan saya menuju ke arah masjid kerana saya fikir itu adalah tempat paling selamat.

"Setelah semua rakan-rakan memasuki masjid, saya hubungi ayah untuk maklumkan perkara itu kerana ayah adalah setiausaha masjid ini," katanya bersyukur semuanya selamat.

Menerusi laporan USA Today, kejadian berlaku pada 9.13 pagi pada Selasa apabila seorang pegawai polis yang bertugas di sekolah tersebut dikatakan telah menembak seorang pelajar yang berusia 16 tahun.

Menurut sumber, pegawai polis bertindak sedemikian selepas pelajar menyerang dan menikamnya dalam satu pergelutan.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dikatakan mengalami kecederaan ringan dan tidak mengancam nyawa.

Artikel Berkaitan:

Video berdurasi 31 saat itu mencecah 549,000 tontonan setelah dimuat naik di Twitter Fateh Ahmad.

Rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) tular di laman sosial membuatkan ramai netizen terharu dan mengucapkan terima kasih di atas bantuan tersebut.

Kata @ShahidBadruddin, "Masha-ALLAH, jelas kali melihat wanita itu membantu para pelajar. Masjid kita sememangnya untuk kebajikan, keselamatan dan melindungi setiap individu."

"Masha-ALLAH, wanita yang berani," ciap @Anniiee_Arif pula.

Tambah @gohfr, "Terima kasih atas bantuan, keimanan dan kemanusiaan anda."