Usah terikut-ikut pembangkang perlekeh menteri PH: Khalid

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) diingatkan tidak terikut-ikut propaganda dimainkan parti pembangkang sehingga memperlekehkan usaha pembaharuan dilakukan menteri-menteri Pakatan Harapan (PH).

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Khalid Abdul Samad berkata, kepimpinan Amanah bersikap terbuka menerima kritikan perwakilan terhadap beberapa inisiatif kerajaan PH seperti membangunkan projek kereta terbang, pengenalan Program Subsidi Petrol (PSP) selain kelemahan penyaluran komunikasi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan ahli Amanah agar lebih membantu memahami cabaran dihadapi menteri-menteri PH dalam melakukan pembaharuan di kementerian masing-masing berbanding menghentam pihak terlibat.

"Semalam, ada perwakilan sebut pasal cadang kerajaan gantikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo kerana tidak 'perform' tetapi ramai tidak tahu beliau menghadapi masalah dalaman kerana Jabatan Penerangan ini rupanya kubu kuat UMNO.

"Sama juga dengan isu projek kereta terbang dikatakan projek tidak berguna. Menteri berkenaan sudah betulkan istilah itu kepada 'super drone', yang masih cakap pasal kereta terbang adalah Barisan Nasional (BN) sahaja tetapi kita terikut-ikut (hentam).

"Janganlah bila orang kita bergelut, kita pula pukul dari luar. Kita kena ubah minda pembangkang. Jangan terikut-ikut perkara BN bawa kerana hakikatnya inisiatif memperkasakan dron teknologi penting untuk kita mendepani cabaran masa hadapan," katanya sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Semalam, beberapa perwakilan parti mengemukakan beberapa kritikan pedas kepada kepimpinan Amanah dan kerajaan PH sewaktu menyampaikan ucapan perbahasan Pidato Presiden Amanah.

Perwakilan Pahang, Mohd Fadzil Mohd Ramly menegaskan program kereta terbang dibawa Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof adalah merupakan projek paling tidak berguna dilakukan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Perwakilan dari Sarawak, Andri Zulkarnaen secara terbuka mendesak kerajaan PH menggugurkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Dalam perkembangan lain, Khalid yang juga bekas Pengarah Komunikasi Amanah turut menegaskan kerajaan PH tidak boleh terus bertindak memecat mana-mana penjawat awam yang cuba mensabotaj kerajaan PH ketika ini.

"Kita kena beri peluang kepada penjawat awam untuk menerima kita.

"Tidak mudah bagi mereka untuk bekerjasama dengan kita yang selama ini dilihat sebagai pembangkang sering mengkritik mereka. Kita kena berusaha meyakinkan mereka," katanya.