Dakwah di medan kewangan

A
A
A

KEKUATAN ekonomi Islam sebagai saluran dakwah merupakan sunnah yang perlu diberikan nafas baharu dengan lebih berhikmah.

Keupayaan Nabi Muhammad SAW bermuamalat menguruskan perniagaan Saidatina Khadijah membuktikan bahawa ekonomi merupakan salah satu alat dakwah yang sangat berkesan dan efektif.

Kehebatan para sahabat seperti Abu Bakar As-Siddiq, Abdul Rahman Auf, Uthman Affan dan Zubair Al-Awwam sebagai ahli perniagaan bukan sahaja menjana ekonomi Madinah, bahkan menjadikan perniagaan bebas riba sebagai medan dakwah yang sangat efektif.

Jika diselusuri sejarah empayar Turki Uthmaniyah, faktor bebanan hutang dengan kadar riba yang sangat tinggi merupakan antara punca utama kejatuhannya.

Sehingga kini, banyak negara Islam terbelenggu dengan sistem kewangan konvensional yang berlandaskan faedah.

Maka, usaha dakwah ke arah melaksanakan satu sistem ekonomi atau kewangan Islam yang bebas daripada riba serta berpaksikan keadilan sosial merupakan salah satu agenda dakwah yang sangat dituntut dan perlu diutamakan.

Saya amat menghormati seorang anak Malaysia yang mendapat penghormatan tinggi dalam dunia kewangan Islam.

Beliau merupakan seorang ulama, penasihat syariah dan juga pakar dalam kewangan Islam. Semua profesional dalam dunia kewangan Islam mengenali beliau.

Artikel Berkaitan:

Selain di Malaysia, beliau juga diiktiraf di luar Malaysia dengan pelantikannya sebagai ahli lembaga syariah bagi institusi kewangan di Oman, Perancis, London, Dubai, Abu Dhabi, Afrika Selatan, Arab Saudi, Luxembourg, Kazakhstan dan New York.

Insan istimewa yang saya maksudkan itu ialah Pengerusi Eksekutif Amanie Group, Datuk Dr Mohd Daud Bakar. Di Malaysia, beliau ialah Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dan juga Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Pada bulan Julai lepas, beliau telah dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang ke-8. Alhamdulillah, saya diberi kesempatan untuk mengenali dan berbual dengan beliau baru-baru ini.

Bicaranya lembut, cukup bijaksana dan saya perhatikan juga beliau tidak mudah mengatakan haram tanpa memberikan penyelesaian atau alternatif terhadap sesuatu isu berkaitan kewangan Islam.

Terlalu banyak sumbangan beliau untuk umat Islam di Malaysia agar bebas daripada riba, judi dan perkara haram dalam urusan kewangan seharian.

Carilah kesempatan menadah ilmu dengan beliau, jika berpeluang seperti menghadiri seminar-seminar berkaitan penulisan dan buku beliau yang sudah melebihi 10 naskhah sejak 2016. Pilihan

Kita sangat beruntung kerana sebagai rakyat Malaysia, kita sebenarnya mempunyai banyak pilihan dalam dunia kewangan Islam, namun masih ada ruang dakwah kerana bukan semua masyarakat Islam menggunakan produk kewangan Islam walaupun diberi pilihan.

Mungkin mereka belum sedar atau tidak faham. Contohnya antara insurans dengan takaful, antara faedah dengan hibah simpanan, antara faedah dengan keuntungan pelaburan dan sebagainya.

Ada juga kritikan malah tuduhan yang mengatakan tiada bezanya antara sistem kewangan Islam dengan sistem kapitalis. Bezanya cuma akad dan istilah Arab yang digunakan bagi memberi kelainan.

Sebenarnya, sistem kewangan Islam masih dalam proses penambahbaikan yang berterusan bagi mewujudkan persekitaran ekonomi yang adil dalam masyarakat.

Sistem kewangan konvensional menyebabkan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin semakin miskin kerana ada unsur-unsur riba yang menindas.

Ini tidak berlaku dalam kewangan Islam. Jurang ekonomi dalam masyarakat dapat dirapatkan apabila sistem kewangan Islam diamalkan, lebih-lebih lagi jika disokong dengan amalan sedekah dan sistem wakaf yang amat digalakkan dalam Islam.

Hari ini, kita dapat lihat lebih ramai masyarakat bukan Islam yang turut menggunakan sistem kewangan Islam, termasuk di negara bukan Islam.

Dengan peluang dan potensi yang ada, dakwah di medan kewangan seharusnya dioptimumkan kerana ia merupakan satu cabang jihad ekonomi dan ia perlu dilaksanakan secara bijaksana.

Berdakwah bagi membebaskan masyarakat daripada sistem yang berlandaskan riba adalah sangat dituntut untuk membuktikan keindahan Islam sebagai sistem yang berpaksikan keadilan sosial.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan