Amanah lulus usul kuota naib presiden untuk wakil Sabah, Sarawak

Perwakilan Sabah, Haris Alimudin membahaskan usul kajian pindaan perlembagaan pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2019 yang diadakan di IDCC, Shah Alam hari ini. - FOTO ROSLI TALIB
Perwakilan Sabah, Haris Alimudin membahaskan usul kajian pindaan perlembagaan pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2019 yang diadakan di IDCC, Shah Alam hari ini. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2019 hari ini meluluskan usul kajian dan cadangan pindaan perlembagaan parti untuk memperuntukkan satu kuota jawatan naib presiden parti kepada wakil dari Sabah atau Sarawak.

Perwakilan turut bersetuju terhadap beberapa lagi usul sama termasuk menaikkan had umur maksimum ahli Wanita Muda Amanah (Warda) daripada 30 kepada 35 tahun.

Perwakilan dari Sabah, Haris Alimudin ketika membahaskan cadangan untuk parti berkenaan memperuntukkan satu kuota naib presiden kepada wakil dari Sabah atau Sarawak berkata cadangan berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap kedua-dua negeri berkenaan yang membentuk 59.9 peratus kerusi parlimen di Dewan Rakyat.

"Tindakan ini juga selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan yang membentuk negara ini," katanya.

Konvensyen itu membuat ketetapan agar disegerakan penubuhan satu jawatankuasa kajian dan pindaan perlembagaan terhadap cadangan-cadangan pindaan yang telah dipersetujui.

Usul kajian terhadap pindaan perlembagaan parti merupakan antara tiga usul yang dipersetujui dan diterima setelah dibahaskan oleh perwakilan parti berkenaan hari ini.

Dua lagi adalah usul membangunkan silibus usrah dan menubuhkan institut latihan kepimpinan Amanah serta usul mengaktifkan biro integriti di semua peringkat nasional dan negeri serta mewujudkan polisi, manual dan prosedur operasi standard (SOP) integriti.

Bagi usul membangunkan silibus usrah dan menubuhkan institut latihan kepimpinan, parti berkenaan akan membangunkan sebuah silibus usrah kontemporari yang menerangkan dengan jelas agenda Rahmatan Lil Alamin dan mempergiatkan program usrah di semua peringkat selain menubuhkan sebuah institut latihan kepimpinan bagi menggilap lebih ramai ahli sebagai pemimpin masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Bagi usul mengaktifkan biro integriti di semua peringkat nasional dan negeri dan mewujudkan polisi manual dan SOP integriti, Amanah antaranya akan menubuhkan biro integriti di semua peringkat nasional dan negeri bagi memastikan pembudayaan dan pelaksanaan integriti dalam parti.

Dalam konvensyen selama tiga hari yang akan berakhir esok, sebanyak 50 usul telah diterima dari perwakilan seluruh negara dengan 27 antaranya diterima tanpa bahas dan sebanyak lima usul ditolak tanpa bahas. - Bernama