Letupan gas gegar bangunan, tujuh dilapor maut

Bangunan apartmen setinggi 12 tingkat di timur Slovakia digegarkan letupan gas yang mengakibatkan kebakaran besar dan meragut sekurang-kurangnya tujuh nyawa. - Foto Reuters
Bangunan apartmen setinggi 12 tingkat di timur Slovakia digegarkan letupan gas yang mengakibatkan kebakaran besar dan meragut sekurang-kurangnya tujuh nyawa. - Foto Reuters
A
A
A

BRATISLAVA - Sekurang-kurangnya tujuh maut sementara berpuluh yang lain cedera dalam insiden letupan gas yang menggegarkan bangunan apartmen setinggi 12 tingkat di timur Slovakia, kata pihak polis hari ini.

Ketua polis tempatan, Jan Golias berkata, seorang mangsa dilaporkan masih hilang susulan kebakaran di bandar Presov, kira-kira 400 kilometer dari Bratislava.

Media tempatan melaporkan, kira-kira 100 anggota bomba dikerah memadam kebakaran tersebut yang berlaku di tingkat empat atau lima teratas bangunan terbabit.

Letupan awal dilaporkan berlaku pada waktu tengah hari semalam dan berjaya dipadam pagi tadi.

"Kami menjangkakan 40 orang mengalami kecederaan," kata Alena Krcova, jurucakap perkhidmatan kecemasan kepada AFP.

Sementara itu, seorang jurucakap hospital memberitahu media, sembilan mangsa dirawat susulan letupan namun tiada yang berada keadaan kritikal.

Polis menerusi kenyataan Facebook pada awalnya berkata, sejumlah 11 mangsa maut dalam kebakaran itu namun kemudian memadam muat naik terbabit.

Golias memaklumkan jumlah kematian adalah tujuh susulan maklumat terkini tanpa memberi butiran lanjut. - AFP

Artikel Berkaitan:

.