Kekal pemimpin lama elak perjuangan tersekat tengah jalan

Khalid - FOTO ROSLI TALIB
Khalid - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan mengekalkan penyandang lima jawatan tertinggi Parti Amanah Negara (Amanah) pada pemilihan parti hari ini adalah keputusan sebulat suara perwakilan yang mahu memastikan kesinambungan kepimpinan sedia ada.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Khalid Abdul Samad berkata, keputusan itu dibuat susulan perwakilan dan kepimpinan Amanah baharu tidak mahu agenda perjuangan parti tersekat di pertengahan jalan.

Menurutnya, Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional turut bersepakat meneruskan perancangan parti diusahakan sebelum ini bagi memastikan keberkesanan rancangan itu dicapai.

"Kita tidak mahu tukar kepimpinan di pertengahan jalan dan mahu mengekalkan kepimpinan terdahulu supaya ia dapat menentukan kesinambungan dan keberkesanan perancangan terdahulu.

"Kami pun tiada masalah dengan saf kepimpinan lama. Dalam perbincangan malam tadi, kami semua sebulat suara bersetuju kekalkan (kepimpinan tertinggi Amanah) dan bertekad untuk meningkatkan lagi usaha mengukuhkan parti," katanya pada sidang media sempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Dewan Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Amanah, Mohamad Sabu menjelaskan, perwakilan Amanah semalam turut mengetengahkan muka baharu dalam kepimpinan parti itu di peringkat nasional.

Menurutnya, pihaknya mengambil contoh pemilihan Dr Siti Mariah Mahmud sebagai salah seorang ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional sesi 2019-2022 di samping pelantikan ketua pemuda dan ketua wanita baharu.

"Itu adalah pemilihan perwakilan parti. Mereka memilih pasukan yang lama tetapi pada masa sama mereka turut mengetengahkan muka baru (kepimpinan parti)," katanya.

Artikel Berkaitan: