X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda Amanah gesa tarikh peralihan kuasa PM ditetapkan segera

Shazni Munir Ithnin
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional menggesa Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menetapkan satu tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri daripada penyandangnya, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan segera.

Perwakilan sayap parti itu, Shazni Munir Ithnin berkata, langkah penetapan segera itu penting bagi membolehkan kerajaan mencari kaedah terbaik bagi meyakinkan pelabur-pelabur dari seluruh dunia untuk melabur di negara kita.

"Amanah berbangga mengakui parti ini menjadi parti paling stabil dalam PH dan layak menjadi pemangkin pengukuhan kerjasama antara parti-parti dalam pakatan itu.

"Namun sekiranya benar kita menjadi pengimbang (stabilizer) keharmonian dalam PH, Pemuda Amanah Nasional menggesa bukan sahaja kepimpinan Amanah, bahkan Majlis Presiden PH menetapkan satu tarikh khusus bila proses peralihan kuasa Perdana Menteri akan berlaku.

"Dengan itu, barulah kita boleh mencari kaedah terbaik untuk meyakinkan lebih banyak pelabur dari seluruh dunia untuk melabur di negara kita," katanya sewaktu menyampaikan perbahasan Pidato Presiden Amanah sempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam di sini hari ini.

Mengenai usaha memperkasakan kerangka falsafah pendidikan negara, Shazni Munir menegaskan Pemuda Amanah Nasional turut memberi teguran keras kepada badan berkepentingan dalam dunia pendidikan nasional seperti Dong Zhao.

Menurutnya, institusi ini diminta lebih rasional dan melihat pelaksanaan kerangka falsafah pendidikan kebangsaan jauh lebih penting daripada agenda pendidikan berasaskan perkauman.

"Kita tidak mahu sentimen perkauman dan keagamaan menjadi semakin tebal sekaligus menjejaskan keharmonian negara pada masa hadapan," katanya.

Mengenai aspek kejujuran kerajaan dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat, Shazni Munir meminta kepimpinan kerajaan PH tidak memberi janji kosong kepada rakyat dan harus mengaku kepada mereka sekiranya terdapat janji pilihan raya yang tidak mampu dilaksanakan.

"Namun sebelum pengakuan dibuat, mereka perlu memberi penjelasan tuntas mengenai setiap inisiatif berjaya dilaksanakan kerajaan demi kepentingan rakyat.

"Dengan itu, barulah rakyat lebih memahami dan tidak marah kepada pentadbiran kerajaan sedia," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!