Pemuda Umno terjah pejabat Eric Liew hantar memorandum

Pemuda Umno menyerahkan memorandum bantahan di sebuah pejabat di Kuala Lumpur.
A
A

KUALA LUMPUR – Pemuda Umno menyerahkan memorandum bantahan kepada Syarikat Cisco iaitu tempat pemilik akaun Facebook bernama Eric Liew bekerja supaya dikenakan tindakan sewajarnya, susulan tindakan biadapnya menghina bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Memorandum berkenaan diserahkan sebagai desakan kepada syarikat korporat terbabit untuk mengambil tindakan tegas di atas perbuatan pekerjanya itu yang jelas melanggar prinsip, nilai dan falsafah Perlembagaan Persekutuan.

Sesi serahan memorandum yang sepatutnya berlangsung lima minit bagaimanapun berlanjutan hingga lebih 30 minit apabila wakili Syarikat Cisco yang berdolak-dalik untuk menerima memorandum berkenaan.

Wakil syarikat itu mendakwa Pemuda Umno ‘menerjah’ pejabat mereka tanpa memohon kebenaran masuk terlebih dahulu dan gagal mengemukakan pengenalan yang menyatakan mereka daripada sayap Umno.

Suasana tegang itu menyebabkan pihak syarikat memanggil beberapa polis bantuan yang bertugas di bangunan One Sentral, bagaimanapun seorang lagi wakil kakitangan Syarikat Cisco tampil menerima memorandum berkenaan, sekali gus mengakhiri ‘drama’ Eric berkenaan.

Exco Pemuda Umno, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham ketika sidang media berkata, kedatangan mereka ke Syarikat Cisco untuk menzahirkan kekecewaan dan kekesalan terhadap kenyataan Eric di Facebook mengenai Sultan Muhammad V susulan tindakan baginda melepaskan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelmarin

“Komen Eric yang dibuat secara terbuka di laman Facebooknya melanggar Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut kebencian terhadap Sultan Muhammad V dan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna kemudahan komunikasi untuk sebaran maklumat jelik dan menghina.

“Ia juga tidak mencerminkan nilai dan falsafah Syarikat Cisco iaitu 'We respect and care for each other', oleh itu Pemuda Umno mendesak syarikat ini mengambil tindakan ke atas pekerja mereka, Eric yang jelas melanggar prinsip,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Selangor, Amin Mohd Shukor pula berkata, desakan Pemuda Umno terhadap Eric ini tiada sebarang unsur perkauman, sebaliknya ia hanyalah dasar mempertahankan kesejahteraan negara.

“Sesiapa sahaja yang gagal untuk memahami dan mematuhi kesejahteraan negara kita akan ambil tindakan.

“Kita bukan buat desakan ini sebab Eric itu Cina, bukan kerana itu. Kita cuma mahu keharmonian negara dipelihara.

“Jika syarikat ini gagal membuat tindakan dalam masa terdekat kami akan membuat desakan berterusan,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia