Skuad boling lelaki rampas kembali pingat emas

Pasukan tenpin boling negara merangkul pingat emas setelah membuat 4,980 jatuhan pin. - Foto Bernama
Pasukan tenpin boling negara merangkul pingat emas setelah membuat 4,980 jatuhan pin. - Foto Bernama
A
A
A

MANILA - Skuad boling lelaki negara merampas pingat emas Sukan SEA daripada pasukan Singapura dalam acara berpasukan di Coronado Lanes, Starmall EDSA hari ini sementara pasukan wanita gagal mempertahankan emas dan hanya membawa pulang perak kali ini.

Pasukan lelaki terdiri daripada Juara Dunia 2018, Muhammad Rafiq Ismail, Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan dan Ahmad Muaz Fishol bangkit daripada ketinggalan hampir 100 jatuhan pin dalam blok pertama untuk memperoleh emas dengan jumlah 4,980 jatuhan pin keseluruhan.

Pasukan Filipina terdiri daripada Kenneth Chua, Patrick Nuqui Neil, Frederick Ong dan Merwin Tan mendapat perak dengan 4,937 jatuhan pin sementara Thailand mengekalkan gangsa menerusi Atchariya Cheng, Surasak Manuwong, Annop Arromsaranon and Yannaphon Larp-apharat menjatuhkan 4,896 pin.

Selepas Malaysia memenangi juara berpasukan dalam Sukan SEA Singapura 2015, republik itu membalas dendam dengan merampas emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur tetapi pemain Malaysia merampas kembali gelaran itu di gelanggang yang neutral kali ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat, pemain boling negara berkata, komunikasi yang baik sesama pasukan dan keserasian yang mana keempat-empat mereka rapat bagaikan adik-beradik merupakan kunci kepada kejayaan mereka.

“Empat hari lepas kami mengalami turun dan naik, tetapi rakan sepasukan bersama-sama saya untuk mencapai kejayaan ini. Walaupun kami merasa tertekan, mereka masih bersemangat untuk berjuang sehingga tamat,” kata Muhammad Rafiq, yang akan mempertahankan gelaran masters disandangnya pada esok dan Ahad.

“Esok ada lagi, semua orang ada peluang untuk mendapat pingat masters, tapi saya secara peribadi harap dapat pertahankan emas. Bagaimanapun, saya tidak pandang mudah cabaran pemain dari negara lain, termasuk rakan sepasukan saya,” katanya.

Sementara itu, skrip sebaliknya berlaku kepada pasukan wanita negara selepas mereka gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada edisi 2015 dan 2017 (lima sepasukan).

Artikel Berkaitan:

Skuad wanita dibarisi veteran Shalin Zulkifli, Esther Cheah, Sin Li Jane dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman memperoleh perak dengan 4,803 jatuhan.

Juara 2011, Singapura dibarisi Daphne Tan Shi Jing, New Hui Fen, Ng Lin Zhi Shayna dan Cherie Tan Shi Hua memperoleh emas selepas mengumpul 4,833 jatuhan pin, sementara pasukan tuan rumah diwakili Liza Del Rosario, Lara Posadas-Wong, Bea Katrina Hernandez dan Marie Alexis Sy menduduki tempat ketiga dengan 4,735 jatuhan pin.

Dengan hanya 16 pemain boling dari setiap kategori all events (perseorangan, beregu dan berpasukan) lelaki dan wanita akan mara ke acara masters, kesemua lapan pemain negara (empat lelaki dan empat wanita) layak untuk bertanding.

Malaysia perlu memenangi kedua-dua acara masters lelaki dan wanita untuk mencapai sasaran empat emas, selepas memenangi pingat emas lelaki perseorangan di hari pertama pertandingan, pada Selasa dan satu lagi emas yang disumbangkan acara lelaki berpasukan, hari ini.- Bernama