Lagu Negaraku versi Mandarin untuk kefahaman murid: KPM

Laporan Sinar Harian berhubung klip video tular yang memaparkan nyanyian lagu Negaraku oleh sekumpulan murid sekolah rendah dalam bahasa Mandarin.
Laporan Sinar Harian berhubung klip video tular yang memaparkan nyanyian lagu Negaraku oleh sekumpulan murid sekolah rendah dalam bahasa Mandarin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Siasatan Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati rakaman klip video murid menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam bahasa Mandarin yang tular di laman media sosial berlaku semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, penggunaan bahasa Mandarin ketika menyanyikan Negaraku semasa PdP itu bertujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab semasa menyanyikan lagu kebangsaan oleh rakyat negara ini.

"Ia tidak dilakukan semasa mana-mana acara rasmi di sekolah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas kementerian menyiasat dan mendapatkan penjelasan daripada sebuah sekolah di Negeri Sembilan mengenai rakaman klip video berkenaan.

Bagaimanapun, Amin berkata, kementerian mengingatkan semua sekolah agar sentiasa menggunakan kebijaksanaan dalam melaksanakan perkara-perkara asas terhadap lambang-lambang negara termasuk lagu Negaraku dalam PdP agar tidak disalah anggap oleh mana-mana pihak.

Katanya, KPM turut menegaskan lagu kebangsaan Negaraku tidak boleh diubah atau dipinda dalam apa-apa bentuk sekali pun semasa melaksanakannya dalam mana-mana acara rasmi sekolah dan hendaklah mematuhi Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Video berdurasi 1 minit 23 saat yang menunjukkan murid menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin itu didakwa dirakam pada 26 September 2018 di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 'Lagu Negaraku sudah diwartakan, tidak boleh diubah'

Polis siasat lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin

Artikel Berkaitan: