Ketua Hakim Syarie Kelantan meninggal dunia

Daud
Daud
A
A
A

KOTA BHARU - Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, 84, meninggal dunia petang tadi.

Berita kematian pakar perundangan syariah itu tular di media sosial mengatakan Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.55 petang.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Zulkifle Ab Rahman ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan berita kematian tersebut.

Zulkifli berkata, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan jenazah akan dikebumikan di Lundang di sini malam ini.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menerusi entri Facebooknya turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan di atas pemergian Allahyarham Daud.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.

Daud dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Kelantan sejak 1989 hingga sekarang.

Semasa hajatnya beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019 daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

Daud dilahirkan di Kota Bharu dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab, Indera Putera, Bachok, Kelantan dan Madrasah Al-Falah, Makkah serta Saudi Al-Maahad Al-Ilmi, Al-Saudi, Makkah.

Semasa hayatnya Allahyarham banyak memberikan sumbangan antaranya menjadi panel dan pakar rujuk komuniti syariah Jabatan Peguam Negara serta panel Hakim Mahkamah Rayuan.