Al-Ikhsan taja Melaka United RM1 juta

552127
552127
A
A
A

MELAKA United mendapat suntikan semangat bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) apabila syarikat barangan sukan terkenal tempatan, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd sah menjadi penaja mereka bagi musim 2020 dan 2021.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li berkata, Al-Ikhsan menjadi penaja rasmi jersi dan pakaian sukan skuad Hang Tuah itu bagi tempoh dua tahun mulai 2020 dengan nilai berjumlah RM1 juta menerusi jenama AL Sports.

"Kami amat berbangga dengan kesudian syarikat Al-Ikhsan menaja pasukan. Kami menerima dengan tangan terbuka penajaan itu dan ia membabitkan skuad utama, pasukan bawah 21, 19, 17 tahun, futsal serta wanita bagi tempoh terbabit," katanya.

Terdahulu, majlis menandatangani perjanjian antara Al-Ikhsan dan MUSA diadakan di Bandar Hilir, Melaka hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Vach Pillutla mewakili syarikat berkenaan dan turut hadir, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan.

Dalam pada itu, Al-Ikhsan Sports mengucapkan terima kasih kepada pihak MUSA atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada mereka dalam misi mengejar kecemerlangan bola sepak di Melaka.

“AL Sports yang merupakan jenama di bawah naungan Al-Ikhsan Sports kini semakin aktif dalam menonjolkan jenama kami di mata negara.

"Kami yakin dengan kualiti terbaik, pasti AL Sports akan dapat menyediakan kelengkapan bola sepak berkualiti tinggi untuk pasukan Melaka United,” ujar Vach Pillutla.

Artikel Berkaitan: