Hilman gesa Kongres Nasional AMK dibatalkan

Hilman (tengah) pada sidang akhbar yang diadakan di D'Village Resort berasingan dari lokasi kongres tersebut hari ini.
Hilman (tengah) pada sidang akhbar yang diadakan di D'Village Resort berasingan dari lokasi kongres tersebut hari ini.
A
A
A

AYER KEROH - Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham menuntut supaya Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 dibatalkan dan diadakan semula susulan insiden kekasaran yang berlaku di luar dewan kongres di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini.

Hilman berkata, kepimpinan AMK akan membuat laporan polis dan melapor kepada Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menggesa dan menuntut Kongres AMK itu dibatalkan dan diadakan semula.

Beliau berkata, pihaknya turut musykil bagaimana perwakilan dan pimpinan dengan keahlian yang sah tidak dibenarkan masuk namun dalam masa sama sekumpulan anak muda berbaju hitam yang tidak dapat dipastikan kesahihan keanggotaan mereka pula dibenarkan masuk ke kongres berkenaan.

"Beberapa laporan polis dah dibuat. (Bekas Pengerusi Tetap AMK) Mizan (Adli Mohd Noor) dan (bekas Timbalan Pengerusi Tetap AMK) Mohd Ramly (Ahmad) sudah buat (laporan polis).

"Selepas ini beberapa Exco AMK yang dikasari kita putuskan akan buat laporan polis. Setelah lengkap kita akan teliti dan kumpulkan laporan supaya laporan lengkap kita serahkan kepada setiausaha agung parti dan ROS," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang diadakan di D'Village Resort berasingan dari lokasi kongres tersebut hari ini.

Selain itu, Hilman berkata, kira kira 500 perwakilan termasuk 20 pimpinan AMK tidak akan menghadiri Kongres Nasional AMK hari ini selagi tidak mendapat jaminan keselamatan.

"Setakat ini pendirian kita bukan boikot, atas dasar keselamatan. Kita tak mahu hadir sekiranya tak dibenarkan masuk, dipukul dan tidak diraikan," katanya.

Artikel Berkaitan: