AMK gesa SPRM siasat Ahmad Amzad

Mohd Afiq (dua dari kanan) dan Bryan (tiga dari kiri) selepas menghantar memorandum kepada SPRM pada Isnin.
Mohd Afiq (dua dari kanan) dan Bryan (tiga dari kiri) selepas menghantar memorandum kepada SPRM pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk memulakan siasatan terhadap calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Afiq Ayob berkata, pencalonan Ahmad Amzad menimbulkan tanda tanya meskipun mahkamah memutuskan pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

"Kami pelik kenapa Perikatan Nasional (PN) masih mencalonkan individu sama," katanya ketika ditemui pemberita di hadapan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Isnin.

Sementara itu, seorang lagi Exco AMK Pusat, Bryan Ng Yih Miin berkata, adalah wajar SPRM melakukan siasatan terhasap Ahmad Amzad selain Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu meneliti semula pencalonan Pas itu.

"SPRM serta SPR perlu melakukan sesuatu demi menjaga kepentingan awam," katanya.

Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahmad Amzad selepas membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen itu, Mohd Zubir Embong.

Pada PRU15 lalu, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas memperoleh 63,016 undi sekali gus menewaskan Mohd Zubir (22,109 undi), calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi) dan calon PH, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi).

Pada PRK kali ini Ahmad Amzad bertembung dengan calon BN yang juga bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail daripada PKR sebagai calon mereka.

Parlimen Kuala Terengganu melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang dan Batu Buruk dengan 123, 575 pengundi berdaftar dan 44 pusat mengundi dibuka meliputi 222 saluran.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!

ARTIKEL BERKAITAN: Dewan Rakyat dimaklum kekosongan kerusi Kuala Terengganu

PRK: Ahmad Amzad kekal calon PN Parlimen Kuala Terengganu

Amzad sedia 'dihukum' pengundi Kuala Terengganu