Berjaya pulihkan TH kejayaan besar PH, kata Mat Sabu

Mat Sabu sewaktu ucapan pidato presiden bersempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal hari ini. - FOTO ROSLI TALIB
Mat Sabu sewaktu ucapan pidato presiden bersempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal hari ini. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Pimpinan Pakatan Harapan (PH) mencapai kejayaan besar apabila berjaya meletakkan kembali pengurusan Tabung Haji (TH) ke landasan yang betul.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, sewaktu mengambil alih pentadbiran kerajaan pada tahun 2015 lalu, TH mengalami defisit dan menyalahi Akta Tabung Haji kerana membayar hibah kepada pendeposit dalam keadaan aset dimiliki kurang daripada liabiliti.

Beliau berkata, pimpinan PH telah mengambil tindakan dengan menukar pengurusan baharu dan memindahkan aset-aset rendah nilai TH ke Syarikat Bertujuan Khas (SPV).

"Dengan langkah ini, TH dapat membuat bayaran hibah kepada pendeposit secara patuh akta.

"Walaupun dengan hibah 1.25 peratus sahaja untuk tahun lalu, namun ia mematuhi akta dan tidak memanipulasi duit. TH kini menjana keuntungan dan berada di landasan benar," katanya.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata demikian sewaktu ucapan pidato presiden bersempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

Dalam perkembangan lain Mohamad berkata, kerajaan pada masa kini sedang giat berusaha bagi memperkasakan institusi tahfiz yang beroperasi di negara ini.

"Bukan sahaja peruntukan, kerajaan juga meminda Akta 505, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) bagi memasukkan institusi tahfiz didaftar serta dikawal oleh Majlis Agama Islam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, usaha memartabatkan Islam juga sedang giat dilaksanakan menerusi penyelarasan pelbagai enakmen pentadbiran Islam negeri-negeri yang berbeza.