Agong solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Fallah

Yang di-Pertuan, Agong Al-Sultan Abdullah Shah (tengah) berkenan bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Fallah Taman Tas, hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan, Agong Al-Sultan Abdullah Shah (tengah) berkenan bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Fallah Taman Tas, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berangkat ke Masjid Jamek Al-Fallah Batu 8 di Jalan Gambang di sini untuk menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah dari sekitar daerah Kuantan.

Keberangkatan tiba Sultan Abdullah pada 1 tengah hari di masjid itu disambut Kadi Daerah Kuantan Abd Aziz Abd Karim dan Seri Paduka berkenan bersalaman dengan jemaah sebelum mendengar khutbah.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Md Yunos dan ketua jabatan di Pahang.

Sultan Abdullah, yang juga Sultan Pahang, berangkat ke Kuantan hari ini untuk mendengar persembahan taklimat persediaan menghadapi bencana banjir negeri Pahang yang disampaikan oleh Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini.

Abd Aziz menyampaikan khutbah bertajuk 'Memanfaatkan Cuti Sekolah' sebelum solat Jumaat itu yang diimamkan oleh imam masjid berkenaan, Cik Wan Kholil Wan Mohammed.

Antara inti pati khutbah itu adalah ibu bapa boleh mengambil peluang cuti persekolahan untuk mendidik dan mengajar anak mengenai amal ibadat seperti mengajak mereka solat berjemaah di masjid. - Bernama

Artikel Berkaitan: