Waspada gelombang kedua banjir di Kelantan

Ahmad memberikan kata-kata semangat sebelum mereka berkhatan.
Ahmad memberikan kata-kata semangat sebelum mereka berkhatan.
A
A
A

TUMPAT - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menasihatkan rakyat supaya bersiap sedia menghadapi banjir gelombang kedua pada 25 Disember ini sebagaimana diramalkan.

Menurutnya, kerajaan mengambil maklum peringatan yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan kemungkinan Kelantan berdepan dengan banjir gelombang kedua.

Sebagai persediaan, Ahmad berkata, pihaknya mengambil kira pengalaman banjir yang sedang dihadapi bagi mempertingkatkan segala aspek kesiapsiagaan.

“Mengikut ramalan tidak sebesar banjir 2014. Apapun kita bersiap sedia sebagaimana biasa dengan bekalan bersesuaian di pusat pemindahan sementara.

“Kita juga meminta supaya keluarga di kawasan berisiko membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada media hari ini.

Beliau ditemui sempena Khatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan melibatkan 120 kanak-kanak di Wisma Ibadurrahman.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memberi amaran gelombang kedua banjir dijangka berlaku pada 25 dan 26 Disember dalam skala sama atau melebihi gelombang pertama.

Ahmad juga memberitahu, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada bilik gerakan untuk sentiasa bersiap sedia.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga meminta syarikat telekomunikasi untuk menghantar peringatan awal kepada penduduk supaya mereka sentiasa bersedia,” katanya.

Mengikut portal ebanjir.kelantan.gov.my sehingga jam 1 petang tadi, mangsa banjir berkurangan kepada 6,385 orang terdiri daripada 2,375 masih berada di 18 pusat pemindahan sementara.

Sementara itu, hanya dua sungai yang masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada bacaan 9.47 meter (bahaya 9m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu pula 2.63m (bahaya 2.50m).

Bagaimanapun paras air menunjukkan trend menurun.

Tujuh sungai lain iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Tangga Krai, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Sungai Golok di Jenob dan Sungai Semerak di Pasir Puteh berada di paras normal.