X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

SSPN catat keuntungan pelaburan RM151.50 juta suku ketiga 2019

A
A

SKIM Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) memperoleh keuntungan pelaburan terkumpul bagi tahun 2019 berjumlah RM151.50 juta setakat sukuan ketiga tahun ini.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kenyataannya semalam memaklumkan, prestasi itu menunjukkan peningkatan sebanyak 25.9 peratus berbanding RM120.33 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

"Selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi, PTPTN mengamalkan kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif.

"Pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang berjaya mengurangkan tekanan daripada pasaran ekuiti yang tidak menentu di peringkat global," menurut kenyataan itu.

Pada 2018, PTPTN berjaya mengagihkan dividen SSPN pada kadar empat peratus kepada 3.52 juta akaun melibatkan peruntukan berjumlah RM118.61 juta.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan kepada prestasi tahun semasa, PTPTN menjangkakan dapat meningkatkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar pemberian dividen tersebut.

Untuk rekod pencapaian SSPN bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah deposit adalah sebanyak RM581.83 juta berbanding RM486.92 juta pada tempoh sama pada 2018.

Menurut kenyataan itu juga, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM94.91 juta atau 19.5 peratus, sekali gus menjadikan deposit SSPN terkumpul keseluruhan sehingga September 2019 berjumlah RM4.65 bilion.

"PTPTN mengunjurkan jumlah deposit bagi 2019 adalah sebanyak RM1.30 bilion berbanding RM1.13 bilion pada tahun 2018 iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus.

"Unjuran ini adalah berasaskan kepada pencapaian positif yang dipacu menerusi langkah berterusan promosi galakan penabungan yang dilaksanakan sepanjang tahun di seluruh negara seperti program Jelajah SSPN, Minggu Menabung dan Gerak Gempur Skim Simpanan (2G2S).

"Di samping itu, ia juga disumbangkan oleh kenaikan jumlah insentif pelepasan taksiran cukai dari RM6,000 kepada RM8,000 seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan menerusi Bajet 2019," menurut kenyataan itu.

SSPN merupakan instrumen simpanan yang dijamin sepenuhnya oleh kerajaan serta produk patuh syariah yang menggunakan konsep 'Wakalah Bil Istithmar' di samping menawarkan pelbagai keistimewaan lain seperti geran sepadan dan perlindungan takaful.

Dengan pelbagai keistimewaan dan insentif yang ditawarkan serta kesedaran masyarakat berkenaan penabungan bagi tujuan pendidikan, sehingga 30 September 2019 sebanyak 347,709 akaun baharu SSPN dibuka dan dijangka pembukaan akaun akan terus meningkat sehingga hujung tahun ini.

Secara keseluruhan, sehingga akhir suku ketiga 2019 sebanyak 4.26 juta akaun SSPN dibuka sejak dilancarkan pada 2004.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!