Kepimpinan baharu Pemuda Amanah mahu kekal presiden, timbalan

Antara perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Konvensyen Pemuda Amanah Nasional di Dewan Komuniti Batu Muda, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur semalam.
Antara perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Konvensyen Pemuda Amanah Nasional di Dewan Komuniti Batu Muda, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kepimpinan baharu Pemuda Parti Amanah Rakyat (Amanah) Nasional sesi tahun 2019-2020 bertekad mengekalkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan timbalannya, Datuk Seri Salahuddin Ayub menerajui parti itu pada sesi pemilihan parti sempena Konvensyen Amanah Nasional 2019, Sabtu ini.

Ketua Pemuda Amanah Nasional baharu, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, keputusan persetujuan sayap parti Amanah untuk mengekalkan Mohamad dan Salahuddin berikutan kedudukan kedua-duanya ketika ini yang disifatkan sebagai menampilkan imej parti di peringkat kepimpinan Pakatan Harapan (PH) itu sendiri.

Pihaknya turut percaya keputusan itu akan dipersetujui dua pasukan kepimpinan Pemuda Amanah lain iaitu pasuk Pemuda Wibawa dan Pemuda dan Pemuda Bangkit kerana perkara ini melibatkan hala tuju masa hadapan parti.

"Daripada awal lagi, saya bersama-sama rakan-rakan bersetuju untuk mengekalkan Presiden (Mohamad) dan Timbalan Presiden (Salahuddin) kerana inilah imej Amanah di peringkat kepimpinan PH nasional itu sendiri.

"Insya-ALLAH akur janji ini akan dijelmakan sewaktu pemilihan jawatan tertinggi parti pada hari Sabtu nanti," katanya sewaktu ditemui media pada Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2019 di Dewa Komuniti Batu Muda di sini hari ini.

Dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi Pemuda Amanah Nasional 2019, Hasnul Zulkarnain dipilih sebagai Ketua Pemuda Amanah Nasional baharu, menggantikan bekas penyandangnya, Mohd Sany Hamzan.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional baharu pula, Shazni Munir Mohd Ithnin yang juga bekas Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional sesi terdahulu dipilih menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil.

Mengenai isu pembentukan tiga kumpulan Pemuda Amanah sewaktu proses pemilihan sebelum ini, Hasnul Zulkarnain berjanji akan melaksanakan inisiatif penyatuan hati bagi menggabungkan semula ketiga-tiga kumpulan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya mengakui pengenalan kumpulan Pemuda Bekerja, Pemuda Wibawa dan Pemuda Bangkit sebelum ini adalah semata-mata untuk memperkenalkan barisan calon kepimpinan dan gagasan hendak dibawa bagi dinilai perwakilan.

"Saya yakin perwakilan matang menerima keputusan pelantikan kepimpinan Pemuda Amanah Nasional baharu dan nampak mereka menyambutnya dengan hati terbuka.

"Sudah tentu saya akan turun ke bawah selepas ini bagi menyatukan hati mereka, sekali gus mengukuhkan hala tuju sayap Amanah itu pada masa hadapan," katanya.