Banjir: 17 sekeluarga berhimpit dalam lori

Marlina (kanan) bersama sebahagian 17 ahli keluarganya bersyukur masih ada tempat untuk berteduh.
Marlina (kanan) bersama sebahagian 17 ahli keluarganya bersyukur masih ada tempat untuk berteduh.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Seramai 17 sekeluarga terpaksa berhimpit di dalam sebuah lori selama empat hari selepas rumah mereka di Kampung Tersang ditenggelami banjir ekoran limpahan air Sungai Golok.

Marlina Abdul Rahman, 39, berkata, setiap kali banjir dia dan keluarga akan memilih untuk tinggal di dalam lori milik saudaranya disebabkan tidak selesa untuk berpindah ke pemindahan sementara (PPS) yang terletak di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh.

Menurutnya, setiap kali air Sungai Golok mulai melimpahi tebing dia akan terus menelefon ahli keluarganya itu untuk mendapatkan lori.

"Bukan tidak mahu pindah ke PPS, tapi nak tinggal bersama 17 orang ahli keluarga di PPS bukan perkara mudah.

"Jadi sebagai alternatif kami buat keputusan untuk tinggal di dalam lori yang dipinjamkan ahli keluarga," katanya.

Marlina (empat dari kiri) bersama sebahagian ahli keluarganya terpaksa berhimpit di dalam lori seramai 17 orang apabila rumah mereka dinaiki air banjir.
Marlina (empat dari kiri) bersama sebahagian ahli keluarganya terpaksa berhimpit di dalam lori seramai 17 orang apabila rumah mereka dinaiki air banjir.

Katanya, walaupun hanya berpindah di atas lori dia tetap membuat persiapan dengan membawa bekalan makanan.

"Setiap kali banjir memang akan terputus hubungan sehingga susah nak dapatkan makanan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya hanya masak lauk-pauk biasa sahaja di atas pangking kayu yang dibuat khas dan untuk bersihkan diri kami mandi di tandas madrasah berhampiran," katanya.

Bagaimanapun, mereka juga sentiasa diselubungi kebimbangan setiap kali memikirkan paras air sungai Golok dan hujan lebat tanpa henti.

"Kami hanya tidur-tidur ayam sahaja ditambahkan pula dengan ruangan yang agak terhad tapi walaupun terpaksa berhimpit kami bersyukur kerana masih ada tempat untuk berteduh," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati keluarga yang tinggal di dalam lori tersebut berusia antara 1 hingga 75 tahun.