Sistem dan perisian e-Tunai Rakyat sedang diperhalusi: Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sistem dan perisian e-Tunai Rakyat telah dibangunkan dan sedang giat diuji serta diperhalusi bersama dengan perkhidmatan e-dompet dan agensi kerajaan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, usaha ini adalah selaras dengan garis masa yang ditetapkan dalam pelan projek pelaksanaan pemberian RM30 kepada rakyat Malaysia menerusi perkhidmatan e-dompet yang akan bermula pada 1 Januari 2020.

“Khazanah Nasional Bhd akan mengumumkan perkhidmatan e-dompet yang terlibat kelak. Sekiranya peruntukan tersebut dituntut sepenuhnya dan berjaya merangsangkan perbelanjaan, Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan peruntukan tambahan.

“Sambutan baik juga akan membolehkan inisiatif ini diulangkan dengan mensasarkan lebih ramai pengguna, pedagang dan perkhidmatan e-dompet,” katanya ketika menjawab soalan daripada Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau) yang menanyakan tentang status pelaksanaan pemberian RM30 kepada rakyat menerusi perkhidmatan e-dompet di Dewan Rakyat di sini hari ini.

E-Tunai Rakyat merupakan inisiatif kerajaan persekutuan bagi mempercepat transformasi ke arah peningkatan penggunaan e-dompet dalam masyarakat dan peniaga, terutamanya perusahaan perniagaan kecil dan runcit untuk menerima bayaran digital.

Guan Eng berkata, kerajaan akan menawarkan secara sekali rangsangan digital bernilai RM30 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM100 ribu, untuk dibelanjakan pada bulan Januari dan Februari.

“Apa yang diperlukan hanyalah akaun e-dompet atau e-wallet dengan identiti yang disahkan melalui penyedia perkhidmatan yang terpilih,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada peruntukan RM50.3 bilion yang disediakan oleh kerajaan bagi tempoh lima tahun, untuk mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan, di antaranya peralihan kepada Ekonomi Digital.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah RM50.3 bilion ini, kerajaan telah memperuntukkan RM21.6 bilion untuk Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagi menaik taraf dan meluaskan infrastruktur Digital Malaysia.

“Sebanyak RM28.7 bilion pula diperuntukkan untuk pelbagai jenis insentif pendigitalan seperti e-Tunai Rakyat, jaminan dan dana bantuan termasuk untuk usahawan, perniagaan kecil dan sederhana, dan syarikat Malaysia,” katanya.

Guan Eng berkata, pelaksanaan inisiatif ini adalah di bawah penyeliaan Khazanah Nasional di mana kerajaan telah menyediakan peruntukan sehingga RM450 juta yang bakal memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia.

Katanya, tujuan inisiatif itu adalah untuk menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai. - Bernama