Anwar ucap takziah kepada keluarga Nassier Wahab

Paparan Twitter Anwar.
Paparan Twitter Anwar.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penyanyi terkenal era 1980-an, Datuk Nassier Wahab, 57, yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya kira-kira jam 12.45 pagi tadi.

Anwar menerusi ciapan di Twitternya berkongsi mengenai berita kesedihan itu.

“Takziah buat keluarga. Semoga roh beliau diletakkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” tulisnya.

Perkhabaran duka itu turut dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi.

“Semoga ALLAH SWT mencucurkan rahmat ke atas Allahyarham Datuk Nassier Wahab, sang biduan bersuara emas dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya di Twitter sebentar tadi.

Paparan Twitter Najwan.
Paparan Twitter Najwan.

Difahamkan, Allahyarham pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri pada 1 Jun lalu.

Beliau mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.

Artikel Berkaitan:

Nassier pernah dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular pada tahun 1987 dan 2004.

Antara penyanyi yang seangkatan dengan beliau ialah Shidee, Razis Ismail, Datuk Jamal Abdillah dan Ramlah Ram.

Allahyarham juga memiliki sijil Teori Muzik dan Teknologi daripada Joseph Chamberlain Collage Birmingham, United Kingdom.

Antara lagu popular yang pernah beliau nyanyikan ialah Memori Cinta Luka, Bayangan Wajah Luka, Sebuah Janji Tak Bereti, Sekali aku Jatuh Cinta dan Undangan Rindu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Nassier Wahab meninggal dunia