X

Kindly register in order to view this article
!

Penyanyi Nassier Wahab meninggal dunia

Nassier Wahab
A
A

KUALA LUMPUR - Penyanyi terkenal era 1980-an, Datuk Nassier Wahab, 57, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya di sini jam 12.45 pagi tadi.

Berita yang mengejut peminat seni tanah air itu disahkan oleh Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah.

Beberapa rakan-rakan artis era 80-an seperti Zur Eda dan Azizul Khamis turut memaklumkan berita duka itu menerusi Whatsapp serta laman sosial.

Hafiz berkata, Seniman menyifatkan pemergian mengejut Nassier adalah satu kehilangan besar pada industri muzik tanah air disebabkan bakat serta kebolehan berharga Allahyarham.

Katanya, jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Klang, Selangor untuk urusan pengebumian.

"Dukacita dimaklumkan bahawa industri hiburan negara kehilangan seorang lagi penyanyi hebat era 1980-an serta mempunyai bakat besar dalam bidang muzik tanah air iaitu Datuk Nassier Wahab pada usia 57 tahun.

"Seluruh kepimpinan tertinggi dan exco Seniman Malaysia serta Ahli-Ahli Seniman mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah," kata Hafiz dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Difahamkan, Allahyarham pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri pada 1 Jun lalu.

Beliau mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.

Nassier pernah dicalonkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular pada tahun 1987 dan 2004.

Antara penyanyi yang seangkatan dengan beliau ialah Shidee, Razis Ismail, Datuk Jamal Abdillah dan Ramlah Ram.

Allahyarham juga memiliki sijil Teori Muzik dan Teknologi daripada Joseph Chamberlain Collage Birmingham, United Kingdom.

Antara lagu popular yang pernah beliau nyanyikan ialah Memori Cinta Luka, Bayangan Wajah Luka, Sebuah Janji Tak Bereti, Sekali aku Jatuh Cinta dan Undangan Rindu.

Dalam pada itu, penyanyi Ezad Lazim turut menzahirkan rasa dukacita di atas kehilangan Allahyarham yang pernah menyertai program Gegar Vaganza bersamanya.

"Ya Allah, innalillahwainahilahirojiun. Moga rohnya ditempatkan bersama orang yang solihin.

"Saya masih ingat abang Nassier datang melawat saya ketika saya sakit dahulu. Dia banyak memberikan kata-kata semangat untuk saya.

"Namun, Allah lebih menyayanginya," kata Ezad menerusi Facebooknya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus