Peserta khatan dirai bagai raja sehari

Peserta diarak menaiki lanca sejauh empat kilometer pada Majlis Berkhatan Perdana 2019 di Masjid Kampung Huma, mukim Padang Hang di sini baru-baru ini.
Peserta diarak menaiki lanca sejauh empat kilometer pada Majlis Berkhatan Perdana 2019 di Masjid Kampung Huma, mukim Padang Hang di sini baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kira-kira 26 kanak-kanak dirai bagaikan raja sehari apabila diarak dengan lanca sejauh empat kilometer pada Majlis Berkhatan Perdana 2019 di Masjid Kampung Huma, mukim Padang Hang di sini baru-baru ini.

Jurucakap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Besar, Sobri Md. Din berkata, peserta diarak menggunakan lapan lanca yang digunakan untuk mengangkut baja, jerami dan peralatan pertanian.

Menurutnya, peserta terdiri daripada kanak-kanak berusia enam hingga sembilan tahun diberi peluang menaiki lanca yang sering digunakan penduduk tempatan untuk mengusahakan sawah padi sebelum ini.

"Kita mengambil inisiatif menganjurkan program khatan kepada kanak-kanak tanpa mengenakan caj kepada peserta, malah mereka turut diraikan dengan istimewa dengan dibawa berarak keliling kampung.

"Jadi, mereka diberi peluang menaiki lanca yang ditarik menggunakan motosikal, sekali gus membolehkan mereka merasai cara petani mengangkut barang satu ketika dahulu," katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, beliau menyambut baik usaha MPKK Kampung Besar menganjurkan majlis berkhatan dengan kerjasama masjid.

Beliau berkata, usaha berkenaan membuktikan MPKK menggunakan geran melibatkan peruntukan sebanyak RM10,000 untuk kawasan masing-masing dengan sebaiknya.

Menurutnya, beberapa aktiviti telah dilaksanakan menggunakan geran RM10,000 itu seperti menanam pokok kurma di pekarangan masjid dan aktiviti kemasyarakatan lain.

Artikel Berkaitan: