X

Kindly register in order to view this article
!

3PK bantu promosi Tahun Melawat Kelantan 2020

Ahli 3PK bergambar di hadapan salah satu lokasi wajib dikunjungi di Kelantan.
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Negeri Kelantan (3PK) mengambil inisiatif mengadakan lawatan muhibah empat jam melibatkan beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu dalam memperhebatkan promosi produk pelancongan Tahun Melawat Kelantan 2020.

Pengerusinya, Wan Saiful Azwan Wan Muhammad berkata, lokasi-lokasi yang dipilih adalah tempat yang dijangka menjadi produk yang bakal meletup di kalangan pelancong tempatan dan luar negara yang mengunjungi Kelantan.

"Ini merupakan program yang julung kali diadakan 3PK bagi mendapatkan input baru produk pelancongan terkini pelancongan sebagai penggiat utama dalam industri ini," katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dengan mensasarkan dua misi iaitu Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Kelantan 2020, maka penerapan kali ini adalah melibatkan kebudayaan dan keharmonian hidup masyarakat majmuk atau 'Living Culture' warga Kelantan.

Beliau berkata, program yang disertai 10 orang ahli 3PK ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi ukhuwah dalam memantapkan dan mendapat input semasa produk pelancongan yang terdapat di negeri Kelantan yang mungkin sebelum ini terlepas pandang banyak pihak.

"Program ini telah ditaja sepenuhnya oleh Exco Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman dengan kerjasama Syarikat Jasa Teratai.

"Antara lokasi yang dilawati oleh 3PK dalam mempromosikan produk pelancongan Kelantan adalah Tokong Mek Temple, Kota Bharu, kilang membuat mancis dan pengusaha Keropok Cap Kapal, Pengkalan Chepa.

"Selain itu turut dipromosikan ialah Wau Bulan Shapie, Pasar Terapung Pengkalan Datu, Masjid Ar-Rahman Pulau Gajah, Baloh Jembal berkonsepkan rumah tradisi Raja Melayu silam, kedai makan TEMA berkonsepkan kontena, Tunjong, Pasar Nelayan Pulau Gajah dan Perahu kolek Pulau Gajah.

"Banyak lagi lokasi menarik di Kelantan bakal dipromosikan di masa akan datang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!