Malaysia tumpu perdagangan, pelaburan inklusif dan mampan

Darell Leiking
Darell Leiking
A
A
A

CYBERJAYA - Malaysia sebagai tuan rumah Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC 2020) akan menumpukan kepada perdagangan dan pelaburan inklusif serta mampan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

Beliau berkata, ini akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi sejajar dengan kesejahteraan rakyat.

“Tumpuan khusus adalah untuk mengoptimumkan ekonomi digital dan teknologi bagi pemerkasaan wanita.

“Fokus juga akan ditumpukan kepada pembangunan belia, penduduk berusia dan mewujudkan persekitaran kondusif bagi usahawan, pemula niaga dan perusahaan sosial,” katanya dalam ucapan beliau semasa majlis pelancaran APEC 2020 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini.

Menurut Darell, tumpuan yang sama rata juga akan diberikan kepada amalan inovatif dalam pembangunan mampan.

“Kerana semua elemen ini adalah komponen kritikal dalam sesebuah ekosistem yang akan menyumbang kepada kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata, bagi APEC 2020 yang bertemakan 'Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Kemakmuran Bersama', Malaysia akan mengadakan 120 mesyuarat APEC di pelbagai peringkat dan menerima kedatangan kira-kira 16,000 delegasi dari 20 ekonomi anggota.

"Mesyuarat itu akan diadakan di pelbagai lokasi termasuk Langkawi, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya dari Disember 2019 sehingga November 2020," katanya.

Artikel Berkaitan:

Malaysia kali pertama menganjurkan mesyuarat pemimpin APEC pada 1998 dan selepas 22 tahun sekali lagi menjadi tuan rumah kepada APEC 2020.

APEC yang terdiri daripada 21 ekonomi termasuk Malaysia, adalah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk mewujudkan kemakmuran lebih meluas kepada rakyat di rantau ini dengan menggalakkan pertumbuhan seimbang, inklusif, mampan, inovatif dan terjamin dan mempercepatkan integrasi ekonomi serantau. - Bernama