Anggota APEC disaran terima pakai falsafah Kemakmuran Bersama

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas majlis perasmian Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 di Cyberview Lodge Resort hari ini.
Malaysia akan menjadi tuan rumah APEC 2020 dengan tema 'Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Kemakmuran Bersama'. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas majlis perasmian Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 di Cyberview Lodge Resort hari ini. Malaysia akan menjadi tuan rumah APEC 2020 dengan tema 'Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Kemakmuran Bersama'. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) agar menerima pakai falsafah perkongsian bersama dan menerapkannya ke dalam model ekonomi semasa mereka.

Menurutnya, Malaysia yang akan menjadi tuan rumah APEC 2020 memilih tema 'Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Kemakmuran Bersama' bagi persidangan tahun depan yang menunjukkan kepentingan falsafah kemakmuran bersama.

Negara baru-baru ini melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dengan matlamat mewujudkan ekonomi yang boleh mencapai pertumbuhan seimbang dan mampan, selain pengagihan kekayaan yang adil dan sama rata dalam semua kumpulan pendapatan, etnik, wilayah geografi dan rantaian bekalan.

“Pada fikiran saya, sudah sampai masanya ekonomi ahli untuk menimbang menerima pakai falsafah ini dan menerapkannya dalam model ekonomi semasa mereka. Menambah baik keseluruhan kesejahteraan rakyat kita dan memastikan semua mereka mempunyai standard hidup yang lebih baik akan menjadikan APEC mampan dan relevan sebagai sebuah perkumpulan bagi tempoh jangka panjang.

“Dengan kata lain, naratif perdagangan dan pelaburan akan bergerak melangkaui pewujudan kekayaan, pekerjaan dan pembangunan untuk juga memastikan kesejahteraan masyarakat,” katanya ketika berucap semasa melancarkan APEC 2020 di sini hari ini.

Apa yang lebih penting, katanya, Malaysia mahu melihat konsep perkongsian bersama memacu Pasca Wawasan 2020 bagi APEC dan falsafah itu dipupuk ke dalam setiap usaha yang dilaksanakan APEC mara ke hadapan melangkaui Matlamat Bogor.

Dr Mahathir berkata, sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia akan terus memperkasakan wanita dalam bidang ekonomi, inklusi kewangan, penglibatan belia dan pembangunan mampan.

“Kita juga akan terus mewujudkan persekitaran kondusif bagi usahawan, pemula niaga dan perusahaan sosial kerana semua elemen ini adalah komponen kritikal sesebuah sistem yang akan menyumbang kepada perkongsian bersama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, APEC sebagai sebuah forum yang pelbagai dan inkubator idea, berkedudukan baik untuk memanfaatkan kekuatan membuat keputusannya yang konsensus, tidak terikat dan sukarela bagi memupuk serta menyokong hasil yang lebih bermakna dalam arena perdagangan dan pelaburan global.

“Inisiatif APEC kini perlu bergerak melangkaui inisiatif liberalisasi untuk menjadi lebih inklusif dan melibatkan semua golongan rakyat," katanya.

Dr Mahathir berkata, APEC penting kepada Malaysia kerana rantau itu menyumbang lebih daripada 80 peratus kepada jumlah perdagangan negara dan lebih daripada 70 peratus daripada pelaburan langsung asingnya dalam sektor pembuatan.

"Kira-kira 40 peratus daripada peluang pekerjaan yang diwujudkan adalah hasil daripada aktiviti berkaitan eksport,” katanya.

Beliau berkata, juga menjadi harapan Malaysia untuk memastikan rantau ini kekal mesra perniagaan dan dasar perdagangan serta pelaburan akan membawa kemakmuran kepada semua sehingga kepada rakyat biasa.

APEC, yang terdiri daripada 21 ekonomi termasuk Malaysia, merupakan forum ekonomi serantau yang diasaskan pada 1989 untuk memanfaatkan kesalingbergantungan yang semakin meningkat di Asia Pasifik; dan menyasar mewujudkan kemakmuran lebih meluas dengan menggalakkan pertumbuhan yang seimbang, inklusif, mampan, inovatif dan terjamin, serta mempercepatkan integrasi ekonomi serantau. - Bernama