X

Kindly register in order to view this article
!

Ekspo tatu bertentangan prinsip Rukun Negara: PUMSel

Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) didesak mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan insiden sama berulang meskipun penganjur ekspo tatu terbabit sudah memohon maaf semalam.
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMSel) dan Badan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) bernaung di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kesal dengan insiden berlaku ketika penganjuran program Tattoo Malaysia Expo 2019 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 29 November lalu.

Pengerusinya, Rumaizi Ahmad berkata, program menampilkan peragaan tatu separuh bogel itu secara terang-terangan bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.

Menurutnya, pihaknya menghormati kepelbagaian budaya termasuk tatu yang menjadi sebagai sebahagian budaya masyarakat negara ini.

"Tapi, saya yakin tidak ada mana-mana agama atau budaya merestui apa yang berlaku dalam program seumpama itu yang memberi impak dan implikasi negatif kepada perkembangan minda yang sihat dan sopan bagi generasi akan datang.

"Kami menggesa seluruh rakyat menjunjung dan menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan dalam setiap aktiviti agar keharmonian masyarakat sentiasa terjaga, seterusnya membentuk Malaysia maju dengan acuan budaya tersendiri," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, walaupun penganjur sudah memohon maaf namun pihak yang berkenaan terutama Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Menurutnya, pihak kementerian sebelum ini memaklumkan tidak pernah memberi sebarang kelulusan untuk mengadakan acara yang melanggar adab dan tatasusila seperti itu.

"Kami menggesa kerajaan untuk mengambil pendirian tegas ke atas pihak penganjur yang menyalahgunakan kepercayaan diberi pihak kementerian dalam menganjurkan program sepatutnya menggambarkan Malaysia sebagai negara kaya dengan nilai-nilai peradaban tinggi.

"Negara sudah menggariskan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang meletakkan nilai-nilai berasaskan kepercayaan masyarakat setempat sebagai elemen utama yang sepatutnya menjadi rujukan dalam apa-apa upacara diadakan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!