Penganjur ekspo tatu cabar perlembagaan negara

Wan Mohd Husni
Wan Mohd Husni
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Belia Malaysia (MBM) menganggap Tattoo Malaysia Expo 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini mencabar Perlembangaan Negara.

Ketua Penerangannya, Wan Mohd Husni Abdullah berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan polis perlu menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur.

"MBM membantah sekeras-kerasnya program yang secara jelas mencabar kesopanan dan kesusilaan dalam Perlembagaan Negara, keharmonian serta tiada nilai positif.

"Kita hairan bagaimana pihak penganjur boleh sewenang-wenangnya menggunakan nama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya walaupun menterinya menafikan pembabitan kementeriannya," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Katanya tindakan tegas perlu ia secara jelas mencemarkan nama baik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

"Tindakan terhadap pegawai kementerian juga perlu jika wujud unsur penglibatan dan kecuaian. Jika tiada tindakan dan hanya penafian semata-mata, rakyat beranggapan ada pembabitan kementerian dalam acara ini.

"MBM berpendapat walaupun program seumpama ini pernah dibuat sebelum ini namun ia dianjurkan dalam skala kecil khususnya untuk masyarakat pribumi di Sabah sebagai menghormati kepelbagaian etnik di Malaysia," katanya.

Selain itu katanya, MBM berharap kerajaan dapat membendung penganjuran acara seumpama itu yang tidak sesuai dengan masyarakat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Kebebasan bukan bermakna boleh melakukan apa saja apatah lagi ia melanggar adat serta norma kehidupan rakyat negara ini.

"Tanggungjawab kerajaan bukan hanya membangunkan fizikal negara. Lebih penting adalah pembangunan modal insan dan sahsiah rakyat," katanya.