Kementerian serius permintaan satu peratus KDNK sektor pertahanan

Guan Eng - Foto Bernama
Guan Eng - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan akan memberi pertimbangan serius terhadap permintaan Kementerian Pertahanan supaya diberikan peruntukan satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun untuk sektor pertahanan, kata Menterinya, Lim Guan Eng.

"Sekiranya keadaan ekonomi mengizinkan, tentu itu akan diberikan pertimbangan yang serius," katanya mengulas permohonan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu semalam mengenai peruntukan sekurang-kurangnya satu peratus daripada KDNK untuk sektor pertahanan bagi setiap belanjawan negara.

Mohamad dilaporkan berkata, permintaan itu adalah bagi memastikan keperluan dan perbelanjaan Kementerian Pertahanan pada masa hadapan adalah mencukupi, selepas membentangkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) di Dewan Rakyat semalam.

Guan Eng menegaskan Kementerian Pertahanan adalah antara yang diberikan fokus oleh kementeriannya, malah dalam belanjawan turut memberikan perhatian yang sepatutnya kepada anggota keselamatan negara.

Sebanyak RM15.6 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan pada Belanjawan 2020.

Guan Eng ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani perkongsian strategik antara Northern Gateway Logistic Centre Sdn Bhd dan One Northern Hub Sdn Bhd untuk membangunkan Truck and Inland Clearance Depot (ICD) di Bukit Kayu Hitam, Kedah yang membabitkan pelaburan RM200 juta di sini hari ini.

Semasa diminta mengulas mengenai laporan bahawa keputusan Bursa Malaysia boleh menghalang rancangan kerajaan mengambil alih syarikat tol, katanya, Kementerian Kewangan tidak campur tangan dalam proses Bursa Malaysia membuat keputusan.

"Tidak ada komen mengenai keputusan yang dibuat oleh Bursa kerana mereka berkuasa untuk membuat keputusan dan Kementerian Kewangan tidak campur tangan," katanya berhubung laporan bahawa Bursa Malaysia telah meletakkan syarat-syarat yang melarang pemegang saham utama empat tol konsesi yang sedang dirancang oleh kerajaan untuk membeli dengan harga RM6.2 bilion.

Artikel Berkaitan:

Jun lepas Guan Eng mengumumkan bahawa kerajaan telah membuat tawaran RM6.2 bilion untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya jalan tol yang terdiri daripada Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Smart Tunnel (Smart).

Gamuda Bhd mempunyai kepentingan besar dalam semua empat lebuh raya itu. - Bernama